JOHOR BAHRU – Seorang penarik kereta dihukum penjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan menyimbah cat merah di dua kediaman di negeri ini.
Hakim Azureen Sahira Sauffee Afandi menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan ke atas tertuduh Muhamad Yaccob Ibrahim, 28, berkuat kuasa dari tarikh sabitan, hari ini selepas mengaku bersalah terhadap satu pertuduhan.
Dia juga dihukum penjara empat bulan selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret Nabilah Nizam bagi pertuduhan yang lain. Hukuman bermula dari tarikh ditangkap pada 16 April lalu.
Di hadapan Azureen Sahira pula, tertuduh didakwa mengakibatkan kebinasaan kepada harta lelaki berusia 52 tahun, iaitu dengan menyimbah cat merah pada rumahnya di Jalan Mutiara Emas 9/20, Taman Mount Austin, di sini pada pujul 4.10 petang, 7 April lalu.
Manakala, di hadapan Nabilah, tertuduh didakwa menyebabkan kebinasaan kepada harta lelaki berusia 37 tahun iaitu dengan menyimbah cat merah pada rumah di Twin Danga Residensi, Jalan Tengah, Kampung Sungai Danga di sini, kira-kira pukul 7 pagi, 24 Disember 2025.
Bagi dua pertuduhan itu, lelaki terbabit didakwa mengikut Seksyen 426 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya Anis Shafeeqah Mohd Shariffudin dan Nor Deana Aqilah Aliman, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) K. Vijayan dan Zulyatie Awang.
Mengikut fakta kes pertama, mangsa menemui cat merah pada dinding dan lantai rumahnya di Taman Mount Austin, sebelum pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang lelaki iaitu tertuduh tiba di hadapan rumah berkenaan dengan menaiki kereta.
Tertuduh dikatakan datang sambil memegang botol berisi cat merah, lalu menyimbah cat berkenaan ke arah rumah sebelum beredar.
Semakan turut mendapati kereta dipandu adalah kereta sewa dan pihak berkuasa menjumpai botol-botol berisi cat merah. Semakan pada telefon bimbit pula terdapat rakaman video menunjukkan tertuduh menyimbah cat merah berkenaan pada rumah mangsa.
Bagi fakta kes kedua, mangsa turut mendapati ada cat merah pada dinding dan lantai unit kondominium miliknya dan semakan CCTV memaparkan tertuduh datang ke kediaman itu dengan menaiki sebuah kereta mewah sebelum menyimbah cat.
Terdapat juga rakaman video dalam telefon bimbit tertuduh yang memaparkan perbuatannya menyimbah cat berkenaan.
Pada 29 April lalu, Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad dalam satu sidang media dilaporkan berkata, polis menahan enam suspek termasuk dua wanita yang juga ‘budak suruhan’ sindiket along dan aktif melakukan ugutan jenayah termasuk simbah cat serta serangan menggunakan ‘molotov cocktail’ di beberapa negeri.
Beliau dilaporkan berkata, suspek yang berusia antara 21 hingga 42 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang, awal bulan lalu.-KOSMO! ONLINE














