SUBANG JAYA – Satu mayat lelaki yang masih belum dikenal pasti identitinya ditemukan di tebing sungai di Bandar Sunway di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung penemuan mayat itu pada pukul 2.43 petang.
Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati mayat berkenaan ditemui dalam keadaan hanya memakai seluar pendek berwarna hitam tanpa baju.
“Si mati memakai gelang di lengan kanan dan terdapat ukiran tatu bertulis ‘KING’ serta gambar mahkota di bawah pelipat lengan kanan.
“Si mati dipercayai telah meninggal dunia sejak beberapa hari berdasarkan keadaan fizikalnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, identiti dan bangsa si mati masih belum dapat dikenal pasti berikutan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan di lokasi kejadian.
Katanya, pemeriksaan fizikal menyeluruh juga tidak dapat dijalankan di tempat kejadian kerana keadaan mayat yang tidak sempurna.
“Mayat telah dihantar ke Jabatan Forensik, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian dan identiti.
“Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut kerana tiada unsur jenayah pada si mati,” ujarnya.
Beliau berkata, cebisan daging dan tulang mangsa turut diambil untuk tujuan semakan asid deoksiribonukleik (DNA).
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau kehilangan ahli keluarga diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Bandar Sunway di talian 03-5621 2222 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di talian 03-7862 7222. – KOSMO! ONLINE














