KUALA LUMPUR – Kegiatan sebuah akademi dipercayai menawarkan sijil palsu kursus estetik terbongkar selepas beberapa mangsa tampil mendakwa kerugian ratusan ribu ringgit.
Difahamkan, ada mangsa membelanjakan sehingga RM180,000 untuk mengikuti kursus yang kononnya diiktiraf, namun sijil diterima sebenarnya tidak sah dan tidak diiktiraf mana-mana badan berkaitan.
Seorang mangsa dikenali sebagai Wong berkata, dia tertarik menyertai kursus itu selepas melihat iklan akademi terbabit di Facebook.
“Pada mulanya memang nampak meyakinkan dan profesional, sebab itu saya daftar.
“Setakat ini saya sudah habiskan kira-kira RM130,000, namun pihak akademi terus minta bayaran tambahan walaupun saya belum mulakan kursus,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut wanita berusia 30-an itu, pihak akademi turut mendakwa terdapat senarai menunggu panjang bagi kursus estetik berkenaan.
Seorang lagi mangsa, Lee mendakwa dia mengikuti kelas selama dua tahun sebelum menyedari sijil diperoleh adalah palsu.
“Saya sudah belanja lebih RM100,000. Kelas diadakan di hotel dan saya sendiri tidak pernah nampak pejabat sebenar akademi itu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, akademi terbabit dipercayai turut menggunakan logo sebuah universiti awam terkenal pada sijil bagi meyakinkan pelajar.
“Setakat ini lapan mangsa sudah tampil membuat aduan, namun saya percaya ramai lagi belum tampil.
“Saya difahamkan pihak universiti juga sudah membuat laporan polis berhubung perkara ini,” katanya.
Michael Chong berkata, penipuan itu bukan sahaja menyebabkan kerugian wang ringgit, malah memusnahkan impian mangsa untuk menjadi pakar kecantikan dan estetik bertauliah.
Katanya, orang ramai yang mempunyai pengalaman sama diminta tampil segera bagi membantu siasatan pihak berkuasa. – KOSMO! ONLINE














