PETALING JAYA – Aktres Fasha Sandha memilih untuk bersangka baik apabila digelar dengan panggilan ‘bab*’ oleh seorang individu dalam ruangan komen satu hantaran media sosialnya.
Fasha, 42, berkata, ibunya, Hatijah Teh Man merupakan individu yang paling terkesan apabila dirinya digelar dengan panggilan kasar sebegitu.
“Perbualan ibu dan anak seawal pagi. Mula-mula macam terkejut juga ketika nak pergi ke set penggambaran, ‘queen’ (ibunya) sudah hubungi meluahkan perasaan.
“Namun, saya cepat-cepat berfikir di luar kotak dan bersangka baik.
“Selalunya bab-bab komen sebegini saya kurang peka tetapi keluarga memang laju baca,” katanya dalam satu hantaran Instagram.
Katanya, dia yakin individu tersebut mungkin ingin memanggil sebagai Barbie berbanding perkataan yang ditulisnya itu.
“Lepas saya fikir sejenak, tak mungkinlah mak cik ini nak mencarut.
“Dia ikuti akaun media sosial saya, tak guna akaun palsu, muka pun suci dan orang Negeri Sembilan pula. Mesti disebabkan salah eja,” ujarnya.
Tambah isteri kepada pelakon Aidil Aziz itu, dia berasa lega apabila dapat menenangkan ibunya selain meminta orang ramai sentiasa berfikiran positif dan tidak mudah melenting apabila berdepan situasi sebegini.
“Alhamdulillah dapatlah positifkan mama saya.
“Ingat ya,kita kena selalu fikir di luar kotak. Lebih tenang. Apa pun terima kaish mak cik panggil saya Barbie,” katanya lagi.
Dalam hantaran sama, dia turut memuat naik tangkap layar perbualan WhatsApp bersama Hatijah, komen dan wajah individu tersebut. – KOSMO! ONLINE














