KLANG – Perkampungan haram dipercayai diduduki pendatang asing tanpa izin (PATI) di Kampung Budiman, Setia Alam dekat sini yang tular di media sosial, kini dalam radar Jabatan Imigresen (JIM).
Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengesahkan dakwaan berhubung kewujudan penempatan haram tersebut sebelum sebarang tindakan penguatkuasaan diambil.
Menurut beliau, JIM tidak akan bertindak secara melulu hanya kerana ia tular di media sosial, sebaliknya setiap maklumat perlu disahkan terlebih dahulu melalui siasatan.
“Kita akan buat siasatan. Memang banyak perkara yang saya lihat di media sosial setiap hari, tetapi kita tidak boleh mengambil tindakan berdasarkan maklumat tular.
“Kita perlu buat siasatan dan memastikan apa (maklumat) yang tular itu adalah betul dan sebagainya. Selapas itu, baru kita boleh ambil tindakan. Perkampungan itu juga dalam siasatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau Operasi Penguatkuasaan Bersepadu di Taman Perindustrian, Kapar Bestari di sini hari ini.
Menurut Zakaria, sekiranya dakwaan itu didapati berasas, pihaknya tidak menolak akan melakukan operasi bersepadu bersama pihak berkuasa tempatan (PBT), Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) serta agensi penguat kuasa berkaitan.
Katanya, tindakan yang akan diambil bergantung kepada bidang kuasa setiap agensi kerana kesalahan membina penempatan haram bukan terletak di bawah bidang kuasa imigresen semata-mata.
“Contohnya kesalahan mendirikan rumah atau penempatan, di luar bidang kuasa imigresen. Kita mungkin akan buat operasi secara bersepadu bersama agensi lain seperti PBT, PTD. Semua itu, akan diambil kira,” jelasnya.
Sebelum ini, tular video di aplikasi Thread memaparkan perkampungan PATI warga Indonesia yang didakwa membiak tanpa gangguan di Kampung Budiman, Setia Alam.
Media turut melaporkan lokasi itu pernah diserbu dan dikenakan tindakan sebelum ini. Bagaimanapun, warga asing dipercayai kembali membuka penempatan baharu berhampiran lokasi asal. – KOSMO! ONLINE
















