MELAKA – Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyediakan perkhidmatan pengurusan jenazah di negeri ini bersetuju menghentikan operasi serta-merta selepas mengaku khilaf ketika mengendalikan perkhidmatan tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri Duyong, Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halem berkata, keputusan itu dicapai selepas tular dakwaan bahawa NGO terbabit meminta bayaran daripada waris kanak-kanak perempuan walaupun pada awalnya dimaklumkan ia adalah percuma.
Menurut beliau, walaupun berada di Tanah Suci, beliau memandang serius perkara itu dan segera mengarahkan pegawainya bertemu wakil NGO terbabit bagi mendapatkan penjelasan.
“NGO tersebut mengaku ada membuat permintaan bayaran daripada waris bagi menampung kos pengurusan.
“Hasil semakan yang dilakukan juga mendapati NGO berkenaan ada melakukan kesalahan ketika menjalankan operasi mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Noor Helmy berkata, wakil NGO itu turut mengakui kesilapan yang dilakukan dan bersetuju menghentikan operasi mereka berkuat kuasa serta-merta.
Pada masa sama, beliau menjelaskan tiada pegawai forensik atau pegawai rumah mayat di mana-mana hospital terlibat dalam operasi yang dijalankan oleh NGO berkenaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Aktivis Sosial dan Pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ), Wan Chai kerana cakna dengn isu tersebut sehingga tindakan segera dapat diambil.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai dakwaan sebuah NGO di Melaka yang menawarkan khidmat pengurusan jenazah secara percuma meminta bayaran daripada waris selepas urusan pengebumian selesai, sekali gus mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan orang ramai.- KOSMO! ONLINE














