SEATTLE – Pengurus pasukan Mesir, Ibrahim Hassan menghamburkan pujian terhadap pengendali The Pharaohs, Hossam Hassan yang berjaya mengembalikan prestasi penggempur terbaik mereka.
Mesir tiba di Piala Dunia kali ini dengan meletakkan sandaran terhadap Mohamed Salah ketika pemain itu gagal menjulang sebarang gelaran pada musim lalu dan berdepan isu prestasi yang dianggap gagal mencapai tahap terbaik.
“Hossam Hassan mempunyai visi taktikal yang tajam. Sebagai contoh, prestasi Mohamed Salah yang kini tampil berbeza berbanding tempoh sebelumnya adalah hasil daripada cara jurulatih yang memanfaatkannya dengan baik.
“Apa sahaja keputusan yang dibuat oleh Hossam adalah demi kepentingan Mohamed Salah dan pasukan kebangsaan. Jurulatih membuat keputusan pada masa yang tepat. Kami sedang berjuang dalam satu pertempuran, dan sebarang keputusan yang salah boleh menyebabkan keseluruhan sistem runtuh,” katanya.
Sementara itu, Ibrahim turut memuji kematangan yang dipamerkan oleh Salah apabila sentiasa bersedia dengan apa juga taktikal dan perancangan yang mahu diterapkan jurulatih dalam setiap perlawanan.
“Salah juga pemain yang hebat dan tempoh yang dilaluinya di Eropah telah banyak membentuk serta mematangkan pemikirannya.
“Dia sedar bahawa dirinya seorang pemain profesional dan mempunyai keyakinan terhadap jurulatih serta tahu bagaimana untuk mengembalikannya ke tahap terbaik dan menonjolkan kemampuan sebenarnya,” jelasnya. – AGENSI














