KUALA TERENGGANU – Seorang kontraktor pendawaian kerugian RM50,400 akibat diperdaya tawaran tender pembekalan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang sebenarnya tidak wujud.
Lelaki berusia 52 tahun yang menyedari tertipu telah membuat laporan berhubung kes itu Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada pukul 3.58 petang, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, kontraktor itu menerima emel kononnya daripada kakitangan KPKT di pejabatnya di Jalan Sultan Zainal Abidin di sini pada pukul 9 pagi, 14 Julai lalu.
“E-mel itu berkaitan sebut harga kononnya projek pemasangan lampu jalan jenis solar di bawah peruntukan khas Jabatan Kerajaan Tempatan.
“Mangsa kemudiannya berhubung dengan suspek yang mengaku kononnya kakitangan KPKT berkenaan sebelum ditawarkan pula tender pembekalan tiga unit alat jana kuasa mudah alih,” katanya di sini, hari ini.
Azli berkata, suspek mencadangkan kononnya syarikat pembekalan gajet itu yang berharga RM16,800 setiap unit.
Beliau berkata, kontraktor terbabit kemudiannya berhubung individu dikatakan wakil syarikat pembekalan terbabit sebelum membuat pembayaran bagi alat jana kuasa mudah alih berkenaan.
“Pembayaran dibuat menerusi dua transaksi ke dalam akaun bank diberi suspek pada Khamis lalu sebelum panggilan telefonnya tiba-tiba disekat ‘syarikat pembekalan’ tersebut pada dua hari kemudian,” katanya. – KOSMO! ONLINE














