NCT Group of Companies (NCT) memiliki pengalaman yang meluas dalam sektor pembangunan hartanah yang lebih memfokuskan di dalam sektor perindustrian, namun kini ia menceburi bidang hospitaliti melalui projek hartanahnya, Grand Ion Majestic.
Naib Presiden Eksekutif Strategi Korporat dan Pembangunan Perniagaan, Ion Majestic Hospitality Sdn. Bhd., Tee Yih Fung berkata, hotel ini cukup istimewa kerana terletak pada ketinggian 6,000 kaki dari aras laut di Genting Highlands dan ia bukan sekadar tempat penginapan tetapi menjadi sebuah destinasi pembangunan yang menggabungkan elemen hospitaliti, hiburan dan pengalaman gaya hidup dalam satu lokasi ikonik.
Di tengah-tengah Grand Ion Majestic terdapat dua hotel yang berbeza konsep iaitu Wyndham Ion Majestic Hotel dan 1001 Nights Hotel, sebahagian daripada Koleksi Trademark oleh Wyndham.

“Kedua-dua hotel ini menawarkan pengalaman tersendiri dengan gabungan kemewahan moden serta reka bentuk kreatif berteraskan penceritaan, ia turut diceriakan lagi dengan tarikan unik seperti Hard Rock Cafe pada altitud tertinggi di rantau Asia Pasifik, kolam renang rooftop berpemanas tertinggi di Malaysia serta taman fantasi Hoverland, semuanya menjanjikan pengalaman luar biasa di atas awan,” katanya ketika ditemu bual di Kuala Lumpur baru-baru ini.
KOSMO!: Boleh jelaskan tentang projek pembinaan Grand Ion Majestic dan peranan Wyndham Ion Majestic Hotel serta 1001 Nights Hotel dalam pembangunan ini?
TEE YIH FUNG: Grand Ion Majestic adalah hasil visi NCT untuk mewujudkan sebuah destinasi yang bukan sekadar tempat penginapan tetapi destinasi yang menjadi tarikan pelacong kerana ia berada kira-kira 6,000 kaki dari aras laut di Genting Highlands, Pahang, selain direka sebagai hab gaya hidup bersepadu yang menggabungkan elemen hospitaliti, rekreasi dan hiburan dalam satu lokasi.
Terdapat dua hotel berbeza yang menyatukan keindahan alam, reka bentuk dan pengalaman hospitaliti iaitu Wyndham Ion Majestic Hotel menawarkan 850 bilik dengan pemandangan seolah-olah berada di atas awan, selain kemudahan seperti kolam air panas di atas bumbung tertinggi di Malaysia, dewan bankuet dan jambatan kaca.

Selain itu, 1001 Nights Hotel pula di bawah Koleksi Trademark oleh Wyndham tampil dengan konsep kreatif berasaskan penceritaan, memberikan identiti unik di samping kemudahan moden.
Pengalaman ini diperkaya lagi dengan tarikan seperti Hoverland, iaitu taman tema fantasi luar tertinggi di Malaysia serta Hard Rock Cafe Genting Highlands yang merupakan Hard Rock Cafe pada ketinggian tertinggi di Asia Pasifik.
Ia turut menawarkan pengalaman menjamu selera di tepi kolam dalam ruang tertutup yang unik, dengan tarikan utama berupa kolam air panas tertinggi di Asia Tenggara.
Apa yang mendorong keputusan membawa konsep ini ke Genting Highlands?
Kami mahu membina hotel yang bukan sekadar tempat bermalam tetapi sebuah pengalaman yang memberi nilai tambah melalui reka bentuk yang teliti serta memberi rasa keterhubungan dan keseronokan kepada tetamu.
Genting Highlands adalah lokasi paling sesuai untuk konsep ini dan ia sudah pun menjadi tarikan jutaan pelancong setiap tahun dengan iklim sejuk serta pemandangan indah yang sangat sesuai untuk konsep penceritaan dan reka bentuk kreatif.
Dengan konsep unik daripada pereka terkenal China, Profesor Zhao untuk 1001 Nights Hotel, kami bukan sahaja meningkatkan daya tarikan Genting Highlands sebagai destinasi hospitaliti tetapi juga memperkenalkan pengalaman berasaskan naratif yang lebih segar untuk pelancong tempatan dan antarabangsa.
Selain itu, kehadiran Hard Rock Cafe Genting Highlands turut menambah nilai pengalaman ini dengan membawa jenama gaya hidup dan hiburan bertaraf global ke kawasan tanah tinggi.
Kenapa bawa Hard Rock Cafe yang ikonik di dalam Grand Ion Majestic di Genting Highlands?
Kehadiran Hard Rock Cafe adalah langkah strategik untuk mengangkat kedudukan Grand Ion Majestic melalui penglibatan jenama gaya hidup dan hiburan bertaraf dunia.
Pada ketinggian sekitar 6,000 kaki, ia menjadi Hard Rock Cafe tertinggi di Asia Pasifik dan kedua tertinggi di dunia, menawarkan pengalaman makan ‘di atas awan’ yang sangat unik.
Apa yang menjadikannya lebih istimewa ialah konsep kolam dalaman yang diintegrasikan dengan ruang makan berasaskan kolam air panas tertinggi di Asia Tenggara.
Ia turut menawarkan pengalaman penuh Hard Rock termasuk persembahan muzik secara langsung, koleksi memorabilia, hiburan bertema dan menu ikonik, menjadikannya pusat sosial dan gaya hidup yang ‘hidup’ dalam pembangunan ini.

Secara keseluruhan, kehadirannya menambah daya tarikan Grand Ion Majestic serta memperkukuh Genting Highlands sebagai destinasi pilihan pelancong tempatan dan antarabangsa.
Bagaimana Grand Ion Majestic boleh menyumbang kepada peningkatan pelancongan dan ekonomi domestik?
Grand Ion Majestic memainkan peranan penting dalam pertumbuhan pelancongan negeri Pahang dan pembukaan ini juga selari dengan inisiatif negeri This is Pahang – Unlimited serta sasaran nasional untuk menerima 35.6 juta pelawat sempena Visit Malaysia 2026.
Salah satu cabaran utama ketika ini ialah kekurangan bilik penginapan. Tahun 2024 menyaksikan lebih 25 juta pengunjung ke Genting Highlands, namun ramai hanya datang untuk lawatan harian kerana kekangan tempat tinggal.
Dengan lebih 1,000 bilik yang disediakan, lebih ramai pelancong boleh bermalam sekali gus meningkatkan perbelanjaan, memberi manfaat kepada perniagaan tempatan dan merangsang ekonomi domestik.
Selain itu, hotel ini memperkenalkan pengalaman baharu seperti konsep Wedding in the Sky yang menyasarkan pasaran perkahwinan destinasi yang semakin berkembang khususnya dari negara jiran seperti India yang mencari lokasi unik untuk majlis istimewa. -KOSMO! ONLINE














