SEREMBAN – Seorang warga emas yang hadir berkerusi roda mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pesakit remaja perempuan yang dirawat di zon hijau sebuah hospital kerajaan pada Januari lalu.
Tertuduh, Zulkefli Abdul Rani, 60, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya. Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 20 April bagi fakta kes dan hukuman.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melakukan kesalahan amang seksual fizikal bagi maksud seksual terhadap remaja berusia 15 tahun tujuh hari dengan cara menyentuh bahagian ‘dada’ kanan mangsa.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 4 petang di sebuah hospital kerajaan pada 30 Januari lalu dengan tertuduh didakwa telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan- Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi memohon mahkamah memberikan satu tarikh sebutan lain bagi fakta dan hukuman selain menawarkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin bercagar.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan kerana sudah tidak bekerja kerana kaki patah dan berkerusi roda serta menjalani dialisis.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM5,500 dengan syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri di balai polis setiap bulan dan dilarang mengganggu saksi secara sendiri atau melalui pihak ketiga. – KOSMO! ONLINE














