fbpx
Tangkap layar menunjukkan hantaran tular yang memaparkan kekecohan di sebuah pusat beli-belah terkemuka akibat kebakaran.

Pengunjung panik, panel lampu premis perkakasan terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pengunjung di sebuah pusat beli-belah terkemuka di Cheras sempat berdepan detik cemas apabila berlaku kebakaran melibatkan panel lampu LED di premis menjual perkakasan rumah petang tadi.

Kejadian kira-kira pukul 3.53 petang itu turut tular di media sosial apabila beberapa pengunjung memuat naik video dan gambar suasana di pusat beli-belah berkenaan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum mengarahkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pudu ke lokasi.

Menurutnya, sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) bersama lima anggota dikerahkan bagi menjalankan operasi di lokasi kejadian.

“Setibanya pasukan di lokasi, terdapat kebakaran melibatkan panel lampu LED di dalam premis tersebut yang terletak di aras dua pusat beli-belah berkenaan.

“Bagaimanapun, kebakaran berjaya dikawal dan dipadamkan oleh sistem sprinkler bangunan sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya.

Tambahnya, pemeriksaan mendapati sistem pencegahan kebakaran dan sprinkler di bangunan tersebut berfungsi dengan baik ketika insiden berlaku.

Menurutnya, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

Terdahulu, satu hantaran tular di media sosial mendakwa berlaku kebakaran di premis menjual perkakasan rumah dengan pemilik hantaran memaklumkan semua individu di dalam premis sempat keluar menyelamatkan diri. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN