fbpx
Muhammad Amirul (kiri) bergambar bersama bapanya di Baling, Kedah. Ihsan UPSI.

UPSI bantu Amirul Ashraf teruskan pengajian diploma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA– Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menghulurkan bantuan segera berjumlah RM2,207.55 kepada seorang bakal pelajar cemerlang daripada keluarga B40 bagi memastikan impiannya melanjutkan pengajian ke peringkat diploma tidak terhalang akibat kekangan kewangan.

Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata universiti berpegang kepada prinsip bahawa tiada pelajar yang layak dan berpotensi untuk berjaya dalam akademik harus dinafikan peluang melanjutkan pengajian semata-mata kerana kesempitan hidup.

“UPSI sentiasa komited memastikan akses kepada pendidikan tinggi dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang ekonomi keluarga. Selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), kami mahu memastikan tiada pelajar yang tercicir daripada sistem pendidikan tinggi negara disebabkan faktor kemiskinan.

“Justeru, sebaik sahaja menerima maklumat mengenai kesulitan yang dihadapi pelajar ini, pihak universiti melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) serta Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS) segera mengambil langkah menyalurkan bantuan bagi memastikan urusan pendaftarannya berjalan lancar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bantuan itu disalurkan kepada Muhammad Amirul Ashraf Ahjar, 18, yang bakal mendaftarkan diri dalam Program Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PAKK) di UPSI pada 9 Jun ini.

Muhammad Amirul merupakan pelajar cemerlang yang memperoleh keputusan 6A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerusi aliran Sains Komputer dan Rekacipta.

Beliau bagaimanapun berdepan cabaran kewangan apabila bapanya yang bertugas sebagai anggota tentera dengan pendapatan RM1,602 sebulan baru-baru ini disahkan menghidap penyakit jantung, manakala ibunya tidak bekerja dan keluarga itu turut menanggung dua lagi anak yang masih bersekolah.

Dr. Md Amin berkata bantuan berjumlah RM2,207.55 yang diluluskan melalui WEZAS itu merangkumi yuran pendaftaran, yuran pengajian dan yuran kolej kediaman bagi semester pertama pengajian Muhammad Amirul.

“Bantuan ini bukan sekadar membantu meringankan beban kewangan keluarga, malah memberi keyakinan kepada pelajar untuk memulakan pengajian dengan lebih tenang dan fokus.

“Kami di UPSI menanti kedatangan Amirul dan keluarganya pada 9 Jun ini dengan tangan yang terbuka. Harapan kami, bantuan ini dapat memberi sinar baharu buat keluarganya, khususnya ayah beliau yang sedang menjalani rawatan, agar dapat berasa lebih tenang mengetahui masa depan pendidikan anaknya berada dalam perhatian dan bimbingan UPSI,” katanya.

Beliau berkata UPSI turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan lain termasuk penangguhan bayaran yuran, bantuan zakat, dermasiswa, biasiswa dan pinjaman pendidikan bagi memastikan kebajikan mahasiswa sentiasa terpelihara sepanjang tempoh pengajian.

Difahamkan, Muhammad Amirul bersama keluarganya akan bertolak dari Baling, Kedah dan bermalam di rumah saudara mereka di Pantai Remis, Perak sebelum hadir ke kampus UPSI bagi sesi pendaftaran pada 9 Jun ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN