PETALING JAYA – Perkongian sekeping foto imbasan sinar-X (X-ray) milik seorang warga emas yang memaparkan terdapat beberapa jarum halus dipercayai susuk tertanam pada bahagian muka mengundang pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial selepas tular di Threads.
Menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Threads oleh Sukhveersandhu, seorang doktor gigi mendedahkan penemuan tidak sengaja (accidental finding) tersebut ketika merawat seorang pesakit lelaki berusia 60-an yang terlibat dalam kemalangan jalan raya beberapa tahun lalu.
Menurut perkongsian tersebut, jarum-jarum halus berwarna putih (radiopaque) jelas kelihatan bertaburan di sekitar kawasan tengkorak, pipi dan rahang pesakit.
“Masa saya bertugas dekat pakar bedah mulut, kami terima seorang pesakit lelaki berumur 60-an yang terlibat dalam kemalangan jalan raya.
“Bila dia masuk bilik rawatan, kami semua pelik. Dari segi fizikal, muka dan kulit dia langsung tak nampak macam 60-an. Serius, nampak macam umur 30-an, awet muda betul,” katanya.
Bagaimanapun, ‘rahsia’ awet muda warga emas itu terbongkar selepas prosedur imbasan X-ray dijalankan bagi memeriksa sekiranya terdapat komplikasi tulang muka yang patah akibat impak kemalangan berkenaan.
Jelasnya, dalam dunia pembedahan mulut, penemuan objek asing sedemikian bukanlah kali pertama dikesan oleh pihak hospital.
“Sebab jarum itu tak mengganggu rawatan kecederaan sedia ada dan pesakit pun tak ada jangkitan disebabkan benda asing itu, kami biarkan sahaja dan tak usik susuk tersebut. Tugas kami cuma rawat kecederaan trauma dia.
“Sains perubatan tunjuk struktur anatomi, tapi realiti lapangan kadangkala tunjuk benda lain,” ujarnya.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata pengguna turut meluahkan kebimbangan dan berkongsi pengalaman sebagai pakar perubatan berdepan dengan pesakit yang memakai susuk.
“Takut pula nak kenal yang umur 30-an sekarang…tiba-tiba rupanya dia pak cik umur 60 ke 70-an,” seloroh Ezaaz1982.
“Dulu kerja di hospital, ada pak cik kemalangan. Nak masukkan branula, susah nak tembus. Maka, lepas tengok X-ray banyak susuk kat tulang belakang dan kami minta dia lepaskan apa pun ilmu yang dia ada supaya mudah untuk kami bantu selamatkannya,” jelas Izatulnisha. – KOSMO! ONLINE














