KLANG – Tindakan seorang remaja lelaki memotong sebuah kenderaan berakhir tragedi apabila maut selepas tercampak ke laluan bertentangan sebelum dirempuh sebuah kereta lain dalam kemalangan di Jalan Kebun di sini, hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 10.05 pagi itu mengakibatkan mangsa berusia 18 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan badan.
Detik kemalangan tersebut turut tular menerusi rakaman papan pemuka (dashcam) berdurasi 20 saat daripada salah sebuah kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal dari arah Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) menghala ke Bulatan Jalan Kebun sebelum cuba memotong sebuah kenderaan pelbagai guna jenis (MPV) Toyota Harrier.
“Ketika memotong, motosikal mangsa dipercayai bergesel dengan MPV tersebut sebelum tercampak ke laluan bertentangan.
“Pada masa sama, sebuah kereta jenis Toyota Vios yang datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu terlanggar mangsa dan motosikal terbabit,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Menurut beliau, rempuhan itu menyebabkan mangsa parah pada kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan ambulans di tempat kejadian.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk dibedah siasat.
“Bagaimanapun, kedua-dua pemandu kereta yang terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.
Justeru, beliau meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd. Khairulnizam Abdul Talib atau mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE














