fbpx
Gambar hiasan.

Pelumba haram sebabkan maut boleh didakwa bunuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Individu yang terlibat dalam lumba haram sehingga menyebabkan kematian boleh berdepan pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, undang-undang sedia ada sudah memperuntukkan hukuman yang berat terhadap pemandu yang memandu secara berbahaya sehingga meragut nyawa.

“Dalam kes Simpang Renggam, Pejabat Peguam Negara telah mengarahkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Pertuduhan itu membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sekurang-kurangnya 12 sebatan jika tidak dijatuhi hukuman mati,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Yusuf Abd. Wahab (GPS-Tanjong Manis) berhubung cadangan hukuman lebih berat terhadap pelumba haram yang menyebabkan kematian.

Menurutnya, kementerian juga sedang mencadangkan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi memperkenalkan mekanisme pampasan kepada mangsa atau waris yang sah dalam kemalangan maut atau kecederaan serius.

Katanya, melalui cadangan itu, mahkamah diberi kuasa memerintahkan pesalah yang disabitkan kesalahan serius membayar pampasan berdasarkan tahap kecederaan, kerugian yang dialami serta kemampuan pesalah.

Tegasnya, kerajaan tidak akan lagi melihat pemandu yang menyebabkan kematian akibat pemanduan berbahaya sebagai pesalah trafik biasa, sebaliknya akan dikenakan tindakan undang-undang paling berat mengikut kesesuaian sesuatu kes.

Terdahulu, insiden di Kilometer 27, Jalan Renggam-Simpang Renggam, Kluang pada 1 Jun lalu mengorbankan lima nyawa termasuk empat ahli sebuah keluarga selepas dirempuh dua kereta mewah yang dipercayai berlumba secara haram. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN