TANJUNG MALIM – Penantian generasi kedua sejak daripada arwah ayah dan ibu mereka untuk memiliki geran hak milik tanah Program Penyusunan Semula Kampung (PPSK) Felcra Berhad (Felcra) Kawasan Seri Gala dan lot tapak rumah berakhir selepas lebih dekad.
Menurut salah seorang peserta generasi kedua, Norzita Hashim, 50, perasaannya bercampur-baur gembira dan sedih kerana kedua-dua arwah ayah serta ibunya tidak berkesempatan menerima ‘harta’ tidak ternilai tersebut.
“Terima kasih kepada pihak Felcra dan kerajaan negeri Perak sebab bagi peluang untuk mendapat lot tanah (untuk rumah) selain (pemilikan) tanah kebun.
“Sebab benda ni bukan semua orang boleh dapat kan? Syukur, Alhamdulillah. Mungkin ini akan turun ke generasi yang akan datang sebab kami takkan jual, akan jaga baik-baik sebab dah menunggu 26 tahun,” katanya kepada pemberita di Dewan Besar PPSK Felcra Seri Gala, Slim River di sini hari ini.
Terdahulu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad secara serentak merasmikan Dewan Besar PPSK Felcra Seri Gala dan menyerahkan geran hak milik tanah seluas 2.4 hektar dan lot tapak rumah kira-kira satu hektar kepada setiap seorang peserta.
Seramai 47 peserta menerima hak milik masing-masing hari ini melengkapkan 89 peserta keseluruhan.
Majoriti tanah itu diusahakan peserta dengan pokok getah yang dijual secara terus kepada Felcra dan mereka sedang merancang kepelbagaian tanaman iaitu kelapa sawit sebagai tambahan pendapatan secara mapan.
Bagi seorang lagi generasi kedua peserta, Amiruddin Mat Isa, 44, yang bekerja sebagai seorang posmen di Slim River, dia tidak menyangka dapat memiliki tanah kebun dan lot tapak rumah sendiri.
“Tanah kebun ini saya uruskan sebagai seorang pentadbir daripada lapan adik-beradik kesemuanya tetapi tidak mengapa dividen Felcra hasil jualan susu getah kami berkongsi bersama.
“Saya telah menetap lama di sini lebih 20 tahun, adik beradik lain banyak menetap di luar jadi mereka minta uruskan. Alhamdulillah, ada pendapatan sebagai posmen dan hasil kebun getah cukup untuk menampung isteri sebagai suri rumah dan tiga anak,” katanya. – KOSMO! ONLINE















