NILAI – Seorang lelaki Pakistan maut selepas dirempuh motosikal jenis Honda Wave 125 ketika melintas jalan di Jalan Kg Gebok, Mantin, di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.40 pagi itu, mangsa berusia 43 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan sebelum dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Zon Merah HTJS pada kira-kira pukul 10 pagi.
“Kejadian berlaku apabila penunggang berusia 23 tahun tidak sempat menekan brek ketika mangsa tiba-tiba melintas.
“Penunggang motosikal itu turut cedera pada bahagian kepala dan badan. Semakan mendapati dia tidak mempunyai lesen,” katanya.- KOSMO! ONLINE















