JEMPOL – Khidmat dua ekor anjing pengesan digunakan hari ini dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki warga emas yang hilang di kebun sawit di Felda Palong 3 di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Norhisham Mustapar berkata, selain itu, radius pencarian juga diperluaskan dari 1.3 kilometer semalam ke tiga kilometer hari ini di kawasan kebun itu.
“Mangsa merupakan warga emas yang ada sakit pelupa. Kita gunakan khidmat anjing pengesan Rabel dan Tyson bagi menjejaki mangsa. Anjing ini sebelum ini pernah mengesan penjenayah serta barang kes.
“Mangsa berkulit cerah dengan ketinggian kira-kira 160 sentimeter serta berat 70 kilogram. Baju terakhir dipakai mangsa sebelum hilang ialah t-shirt berkolar warna kelabu terang serta keluar kargo berwarna kelabu. Mangsa turut memakai topi berwarna merah terang,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Semalam Kosmo! melaporkan, Abdullah Alias, 78, dikatakan keluar ke kebun sawit dari rumahnya kira-kira pukul 5 petang sebelum gagal dikesan sehingga kini. – KOSMO! ONLINE














