PUTRAJAYA – Kerajaan kekal dapat menangguhkan pelaksanaan bayaran ganti rugi lebih RM30 juta kepada Pastor Raymond Koh dan isterinya serta ganti rugi RM3 juta terhadap keluarga aktivis kebajikan, Amri Che Mat.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Dr. Alwi Abdul Wahab selepas menolak rayuan yang difailkan isteri Raymond, Susanna Liew Sow Yoke dan isteri Amri, Norhayati Mohd. Ariffin.
Rayuan itu dikemukakan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan penangguhan pelaksanaan perintah bagi bayaran ganti rugi.
Bagi kes Raymond Koh, Hakim Alwi memaklumkan tiada sebarang alasan untuk campur tangan terhadap budi bicara Mahkamah Tinggi dalam memberikan perintah penangguhan.
Katanya, penangguhan tersebut tidak menafikan hak untuk mendapatkan keadilan, sebaliknya hanya menangguhkan pelaksanaan keputusan sementara menunggu proses rayuan.
“Keputusan Hakim Mahkamah Tinggi itu merupakan pelaksanaan budi bicara secara rasional bagi mengekalkan keadaan sedia ada sementara menunggu penentuan muktamad terhadap semua isu dalam rayuan utama.
“Ia tidak pernah bertujuan sebagai satu aku janji mutlak untuk mengetepikan hak berkanun bagi memohon perintah penangguhan atau sebagai pengakuan liabiliti,” kata hakim itu.
Berhubung permohonan agar siasatan disambung semula, mahkamah berpandangan penangguhan perlu dikekalkan sementara menunggu rayuan utama bagi memastikan rayuan terhadap syarat pelaksanaan siasatan tidak menjadi sia-sia.
Dalam pada itu, bagi kes melibatkan Amri, Hakim Alwi memberikan alasan penghakiman serupa yang mengekalkan keputusan penangguhan bayaran bagi menunggu keputusan rayuan utama.
“Perintah penangguhan itu tidak akan menjejaskan usaha plaintif untuk mendapatkan keadilan, sebaliknya hanya menangguhkan sementara pelaksanaan penghakiman bagi menunggu proses rayuan.
“Atas alasan yang dinyatakan, kami menolak rayuan tersebut dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi. Tiada perintah mengenai kos,” katanya.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Dr. Shahnaz Sulaiman dan Datuk Amarjeet Singh Serjit Singh.
Sebelum ini, kerajaan berjaya dalam permohonannya di dua Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu untuk menangguhkan bayaran ganti rugi terhadap Raymond Koh dan Amri.
Dalam penghakiman, kedua-dua hakim iaitu Hakim Mahazan Mat Taib dan Pesuruhjaya Kehakiman Zalita Zaidan memutuskan demikian selepas mahkamah mengambil kira terdapat keadaan khas yang mewajarkan pemberian perintah penangguhan pelaksanaan itu.
Terdahulu pada 5 November 2025, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Su Tiang Joo memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi lebih RM30 juta kepada isteri Raymond Koh, Susanna Liew dan RM3 juta keluarga Amri selepas membenarkan saman difailkan.
Berikutan keputusan itu, Jabatan Peguam Negara (AGC) kemudian memfailkan rayuan terhadap pada hari berikutnya.
Dalam saman itu, Susanna Liew memfailkan saman terhadap polis dan kerajaan berhubung kehilangan suaminya serta cara pihak berkuasa menyiasat kes tersebut.
Raymond Koh dilaporkan diculik sekumpulan lelaki bertopeng ketika memandu di Kelana Jaya dekat sini pada 13 Februari 2017.
Sementara Amri yang merupakan pengasas bersama sebuah persatuan kebajikan meninggalkan rumahnya di Kangar pada 24 November 2016, dengan memandu Toyota Fortuner berwarna perak sekitar pukul 10.30 malam. Noorhayati merupakan individu terakhir yang melihat suaminya.
Keesokan paginya, kenderaan itu ditemukan ditinggalkan di tapak pembinaan Bukit Chabang, kira-kira 25 kilometer dari rumah mereka dalam keadaan tingkap kenderaan pecah, namun bapa kepada empat anak itu tiada di lokasi berkenaan.
Saksi kemudian mendakwa melihat beberapa kenderaan pacuan empat roda mengepung Fortuner dipandu mangsa malam sebelumnya, namun hingga kini identiti mereka masih menjadi misteri.
Kes Amri pada awalnya diklasifikasikan sebagai orang hilang kerana tiada bukti kukuh menunjukkan berlakunya jenayah.
Kemudian pada 3 April 2019, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) melalui inkuiri awam yang dijalankan sejak Oktober 2017, merumuskan bahawa pihak Cawangan Khas Bukit Aman bertanggungjawab terhadap kehilangan Pastor Raymond Koh dan Amri. – KOSMO! ONLINE














