PETALING JAYA – Peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui kini menjadi keperluan strategik bagi menjamin keselamatan tenaga negara, bukan lagi sekadar agenda memelihara alam sekitar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, ketegangan geopolitik dunia dan gangguan rantaian bekalan tenaga membuktikan kebergantungan kepada bahan api fosil semakin berisiko serta memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.
Menurutnya, Malaysia memerlukan pelaburan berskala besar untuk membangunkan ladang solar, menaik taraf grid elektrik, memasang sistem penyimpanan bateri dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja.
“Peralihan kepada tenaga bersih bukan sekadar keutamaan ekologi, tetapi satu keperluan keselamatan negara.
“Kerajaan tidak mampu menanggung beban ini secara bersendirian. Ia memerlukan kerjasama erat antara sektor awam, swasta, pelabur dan pemaju projek,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan GBA-ASEAN mengenai Peralihan dan Integrasi Tenaga di Sunway Resort Hotel, hari ini.
Anwar berkata, Malaysia komited melaksanakan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dengan sasaran kapasiti tenaga boleh diperbaharui sebanyak 31 peratus menjelang 2025, meningkat kepada 40 peratus pada 2035 dan 70 peratus menjelang 2050.
Beliau berkata, kerajaan juga kekal dengan komitmen untuk tidak membina loji arang batu baharu serta mengurangkan penggunaan loji sedia ada secara berperingkat. – KOSMO! ONLINE














