fbpx
ZAITUN bergambar bersama alumni MyPAC serta penghuni Pusat Jagaan Al-Fikrah ketika program CSR di pusat itu baru-baru ini.

MyPAC hulur sumbangan, bantu penghuni Pusat Jagaan Al-Fikrah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Dana hampir RM80,000 sebulan diperlukan oleh Pusat Jagaan Al-Fikrah yang menempatkan kira-kira 70 penghuni terdiri daripada warga emas, pesakit kronik serta memerlukan penjagaan rapi.

Jumlah dana itu meliputi kos perubatan, makan dan minum warga emas serta kos pengurusan pusat jagaan yang kini beroperasi sebagai badan bukan kerajaan (NGO).

Prihatin dengan nasib pusat jagaan yang terletak di Kampung Sikamat, Kajang itu, pihak Malaysia Professional Accountancy Centre (MyPAC) telah mengambil inisiatif menyalurkan bantuan menerusi program tanggungjawab sosial (CSR) agensi berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif MyPAC, Datuk Zaiton Mohd Hassan berkata, antara bantuan yang telah diberikan kepada pusat jagaan itu termasuklah wang tunai, barangan keperluan harian termasuk makanan serta lampin pakai buang dewasa.

Jelas beliau, sumbangan tersebut hanyalah sebahagian kecil daripada objektif CSR tersebut kerana keutamaan program itu adalah untuk memupuk kesedaran dalam kalangan kakitangan dan alumni MyPAC terhadap golongan tersebut.

“Ini kerana kebanyakan alumni dan pelajar MyPAC berasal dari keluarga yang susah dan mereka dibiayai oleh badan korporat, institusi kewangan dan badan zakat.

“Jadi sekarang apabila mereka sudah berjaya, kita mahu mereka berbakti semula kepada orang lain. Biar mereka ada perasaan orang tolong kita, kita tolong semula orang lain.

“Sebab itu kami bawa mereka (alumni MyPAC) ke pusat jagaan orang tua ini supaya kita dapat tanam kesedaran kepada mereka agar tidak lupa jasa kedua ibu bapa,” katanya kepada Kosmo!

Mengulas lanjut, Zaiton berkata, selain penyampaian sumbangan, program tersebut turut diisi dengan pelbagai aktiviti interaktif bersama penghuni termasuk senamrobik, permainan berkumpulan, kuiz dan sesi karaoke.

Sekali gus katanya, mewujudkan suasana ceria serta menggalakkan interaksi antara sukarelawan dan penghuni.

Terdahulu, Pengerusi Pusat Jagaan Al-Fikrah, Nurul Atikah Mohd. Azmi memaklumkan, ketika ini pihaknya mengendalikan kira-kira 70 orang warga emas berusia lingkungan 20 hingga 94 tahun.

Ujar beliau, kebanyakan penghuni di pusat jagaan itu adalah mereka yang diabaikan keluarga yang telah dirujuk oleh pihak hospital dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Buat masa ini kami hanya mampu menampung 70 penghuni sahaja. Sebab kami tidak mempunyai dana yang besar dan hanya bergantung kepada sumbangan orang ramai, bantuan daripada agensi kerajaan serta zakat,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN