PORT DICKSON – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjung, Dr. G Rajasekaran mendapat gelaran ‘doktor buta warna’ oleh penduduk di kawasan tersebut disebabkan komitmennya membantu masyarakat tanpa membezakan kaum, agama atau kawasan.
Menurut beliau, seorang doktor hanya melihat darah, bukan warna kulit seseorang pesakit menyebabkan beliau tidak pernah memilih siapa perlu dibantu.
“Saya hanya nampak darah, bukan warna kulit. Sebab itu ada yang menggelarkan saya ‘doktor buta warna’.
“Saya juga bukan seperti ‘cendawan’ yang tumbuh ketika musim pilihan raya. Saya sudah lama turun padang membantu masyarakat dan kerja itu akan diteruskan,” katanya ketika ditemui pada siri ‘walkabout’ sempena kempen PRN Negeri Sembilan di Taman PD Utama di sini semalam.
Beliau memberitahu, tidak pernah menghiraukan jika ada wakil rakyat kawasan lain kurang senang dengan kehadirannya kerana keutamaannya adalah membantu mereka memerlukan.
Katanya, antara individu yang pernah dibantu ialah seorang penjual petai yang berdepan kesukaran hidup, selain membawa seorang gelandangan daripada kaum Cina di Linggi ke sebuah rumah kebajikan.
Selain itu, beliau turut membantu sebuah keluarga Melayu yang tinggal di tandas selama sebulan, selain sebuah keluarga India dengan menempatkan mereka di sebuah kediaman selesa.
“Semua ini saya lakukan atas dasar kemanusiaan. Saya tidak melihat kaum atau sempadan kawasan apabila ada orang memerlukan bantuan,” katanya.
Katanya, tindakan menyelesaikan masalah rakyat perlu dilakukan dengan berhemah dan bukan sekadar mencari populariti.
“Yang penting ialah membantu rakyat memerlukan. Penduduk Port Dickson tahu siapa yang turun membantu dan siapa sentiasa bersama mereka,” katanya.
Ujarnya, pengalaman lebih 12 tahun berkhidmat sebagai doktor di Port Dickson memberinya pemahaman mendalam mengenai kehidupan masyarakat setempat.
“Pendekatan turun padang secara berterusan termasuk lawatan dari rumah ke rumah bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), ketua kampung dan petugas membolehkan isu rakyat dikenal pasti dengan lebih tepat,” katanya.
Beliau turut mengimbas pengalaman semasa pandemik Covid-19 apabila kliniknya menjadi antara lokasi pemberian vaksin, selain membantu menyediakan keperluan perubatan seperti katil pesakit dan mesin oksigen selepas menjadi wakil rakyat.
Katanya, pelbagai bantuan turut disalurkan kepada rakyat melalui kerjasama kerajaan negeri termasuk bantuan pesakit kanser, bantuan pendidikan anak-anak, bantuan melalui e-Kasih, Yayasan Negeri Sembilan serta bantuan sara hidup warga emas.
“Sebagai doktor saya membantu dari sudut kesihatan, tetapi sebagai wakil rakyat saya dapat menyelaras bantuan dalam skop lebih luas.
“Saya mahu memastikan rakyat Sri Tanjung terus mendapat pembelaan dari segi kebajikan, pendidikan, ekonomi dan kemudahan asas,” katanya.














