fbpx
ATILIA kini bersiap siaga menjelang konsert istimewanya di The Campus pada 19 September nanti.

‘Nyanyi sebuah lagu, gementar, nyanyi 14-20 itulah dunia saya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUARA tidak pernah menua, yang berubah cuma cerita di sebalik setiap nada. Selepas lebih dua dekad mengembara dalam dunia muzik, Atilia Haron memilih untuk menghamparkan seluruh perjalanan seninya dalam sebuah malam penuh makna menerusi Atilia Haron In Concert di Robert’s Theatre, The Campus Ampang pada 19 September nanti.

Konsert bermula pukul 8 malam tersebut bukan hanya meraikan katalog muzik dimilikinya, sebaliknya menjadi cerminan evolusi seorang pengkarya yang terus berkembang bersama waktu.

Direka sebagai sebuah pengalaman intim, persembahan tersebut mengajak penonton menyelami ruang paling peribadi Atilia menerusi himpunan lagu diberi nafas baharu, diadun dengan kejujuran, kematangan serta hubungan emosi mendalam antara penyanyi dan khalayak.

Menurut pemilik nama sebenar Raja Putri Atilia Raja Haron itu, persembahan secara langsung sentiasa menjadi ruang paling dekat di hatinya kerana di situlah dia mampu menyerlahkan kemampuan sebenar sebagai seorang penghibur.

“Setiap kali bercakap tentang konsert, saya memang teruja. Kalau diberi peluang menyanyikan hanya sebuah lagu dalam televisyen atau majlis anugerah, saya mudah gementar sehingga persembahan tidak menjadi seperti saya harapkan.

“Perkara itu sudah beberapa kali berlaku termasuk ketika Anugerah Bintang Popular (ABP) dan Anugerah Industri Muzik (AIM). Mungkin sebab itu ada pihak merasakan saya kurang sesuai membuat persembahan seperti itu.

“Tetapi kalau diberi peluang menyampaikan 14 atau 20 buah lagu dalam sebuah konsert, di situlah saya benar-benar selesa. Itulah dunia saya,” katanya kepada HibGlam.

Atilia turut mengakui kecintaannya terhadap persembahan pentas banyak dipupuk oleh ibunya, Allahyarhamah Datuk Salamiah Hassan, yang menjadi inspirasi terbesar sepanjang perjalanan seninya.

“Sejak kecil saya melihat mama menyanyi di tiga kelab dalam satu malam. Dari situlah saya belajar bahawa menjadi penyanyi bukan sekadar menyampaikan sebuah lagu, tetapi menghiburkan penonton sepanjang malam.

“Namun mama tidak pernah menggunakan nama atau pengaruhnya untuk membuka jalan buat saya. Semuanya saya usahakan sendiri.

“Kalau perlukan nasihat, mama sentiasa ada. Tetapi dia mahu saya membina laluan sendiri dalam industri,” ujarnya.

Mengulas cabaran menganjurkan konsert sendiri, Atilia mengakui aspek kewangan menjadi ujian paling besar, namun bersyukur menerima bantuan daripada ramai pihak.

“Kalau tiada penaja memang sukar kerana kita perlu fikirkan kos dewan, sistem bunyi, pencahayaan, pemuzik dan pelbagai keperluan lain.

“Syukur saya mendapat penajaan sistem bunyi daripada d&b audiotechnik dari Jerman. Lebih mengujakan, mikrofon digunakan nanti pernah digunakan Adele dan saya menjadi artis pertama di Asia menggunakannya.

“Jujurnya saya rasa sangat berdebar. Harap-harap semuanya berjalan lancar,” jelasnya.

Tambahnya, urusan membawa artis jemputan dari Indonesia juga bukan mudah kerana membabitkan pelbagai proses termasuk kelulusan pihak berkuasa.

“Cabaran terbesar memang aspek kewangan dan urusan membawa artis luar negara. Mujurlah Datuk Freddie Fernandez banyak membantu menguruskan pelbagai perkara berkaitan.

“Sekarang tinggal satu lagi cabaran besar, iaitu menjual tiket,” tutupnya.

Konsert berdurasi 90 minit itu bakal menampilkan lebih 40 buah lagu daripada katalog muzik Atilia, termasuk karya-karya ikonik, lagu baharu serta beberapa duet istimewa dalam susunan muzik segar yang disulam dengan naratif perjalanan hidupnya.

Menambah keistimewaan malam tersebut ialah kemunculan kumpulan terkenal Indonesia, SORE Ze Band, bukan hanya sebagai artis jemputan, malah rakan kolaborasi kreatif yang memainkan peranan besar dalam membentuk identiti artistik persembahan berkenaan.

Kolaborasi itu turut menjadi penghormatan kepada hubungan akrab Atilia dengan Allahyarham Ade Paloh apabila beberapa susunan muzik eksklusif disediakan khas bagi memperkayakan pengalaman emosi sepanjang konsert.

Keseluruhan persembahan pula diterajui pengarah muzik Fly Halizor menerusi gabungan susunan muzik baharu, iringan pemuzik secara langsung serta penceritaan tersusun bagi memastikan setiap lagu hadir dengan jiwa dan makna tersendiri.

Sebagai rakan kolaborasi utama, Persatuan Karyawan Malaysia turut menyokong penganjuran konsert tersebut.

Empat kategori tiket disediakan kepada peminat iaitu Prahara (RM248) lengkap dengan sesi Meet & Greet, Prahara (RM228), Indah (RM188) dan Sangkar (RM168).

Tiket kini boleh didapati menerusi https://myticket.asia/events/atilia-haron-in-concert/

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN