fbpx

‘Kalau mahu cepat diminati, kena propa’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AMPANG – Terpinggir dan kurang dikenali meskipun hampir tiga dekad mewarnai industri seni, penyanyi Atilia Haron mengakui keadaan itu berlaku kerana dia memilih untuk kekal menjadi diri sendiri daripada berpura-pura demi mengejar populariti.

Ujar Atilia atau nama sebenarnya Raja Putri Atilia Raja Haron, 52, tidak dinafikan terdapat segelintir anak seni sanggup membina imej palsu atau ‘propa’ demi mempercepatkan perjalanan kerjaya mereka.

“Memang betul. Kadang-kadang kalau mahu cepat diminati dan diterima, kita perlu ‘propa’ serta berlakon menjadi seseorang yang bukan diri sendiri.

“Maaf cakap, tetapi masyarakat hari ini mudah menilai berdasarkan apa mereka lihat. Apa dipaparkan, itulah gambaran diri kita pada mata mereka. Hakikatnya, mereka langsung tidak tahu siapa kita di sebalik kehidupan sebenar.

“Mereka tidak tahu bagaimana kehidupan kita di rumah. Walaupun kita menjaga solat lima waktu, semua itu tidak akan diketahui orang,” katanya kepada Kosmo! Online.

Pelantun lagu Sangkar itu bagaimanapun memahami mengapa ada artis memilih jalan tersebut, namun menasihati mereka supaya tidak mengorbankan jati diri semata-mata mahu meraih perhatian.

“Sesetengah artis mungkin merasakan itu jalan paling cepat untuk berjaya. Namun nasihat saya, jangan. Jadilah diri sendiri. Insya-Allah, orang akan menerima kita seadanya.

“Kalau mahu lakukan sesuatu, pastikan perkara itu membawa nilai positif.

“Kita perlu mendidik netizen, pendengar dan penonton bahawa perkara positif juga mampu menjadi contoh, malah boleh melonjakkan nama seseorang. Sekarang ramai sudah penat melihat perkara negatif,” ujarnya pada sidang media Atilia Haron In Concert, di sini, kelmarin.

Dalam perkembangan lain, Atilia bakal menghiburkan peminat menerusi Atilia Haron In Concert pada 19 September 2026, pukul 8 malam di Robert’s Theatre, The Campus Ampang.

Konsert berskala besar pertama dalam fasa baharu kerjayanya itu menjanjikan pengalaman intim dan penuh emosi menerusi susunan lagu diberi nafas segar, sekali gus mencerminkan evolusi seni serta kematangan Atilia sebagai penghibur. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN