MARAN – Perjalanan dua sahabat untuk menunaikan solat subuh di Masjid Kampung Paya Pasir di sini berakhir tragedi apabila mereka maut selepas kereta dinaiki dirempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) semalam.
Nahas pada pukul 5.20 pagi di Kilometer (KM) 95, Jalan Kuantan-Kuala Lumpur di sini mengorbankan pemandu kereta Perodua Myvi, Masitah Mohd. Soad, 59, dan rakannya, Salbiah Mohamad Sah, 76. Kedua-dua mangsa meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah.
Kemalangan turut mengorbankan penumpang MPV Perodua Alza, Muhammad Arif Daniel Mohd. Norsha’ari, 20.
Anak sulung Salbiah, Atan Abdul Gani, 58, berkata, arwah ibunya tidak pernah meninggalkan rutin solat subuh berjemaah di Masjid Kampung Paya Pasir setiap hari.
“Setiap hari emak akan keluar rumah pada pukul 5 hingga 5.20 pagi selepas dijemput jiran (Masitah).
“Saya mengetahui kemalangan ini pada pukul 5.30 pagi selepas dimaklumkan seorang kenalan yang kebetulan melalui lokasi kejadian ketika mahu menunaikan solat subuh. Kami sekeluarga sangat terkejut,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Jengka di sini semalam.
Menurut Atan, kehilangan ibunya amat dirasai oleh seluruh ahli keluarga kerana arwah merupakan ibu yang penyayang dan mengutamakan anak-anak.














