PETALING JAYA – “Sudah ditampal notis perintah tutup oleh Kementerian Kesihatan (KKM) pun masih ada rider datang ambil makanan.”
Demikian luahan seorang pengguna di aplikasi Threads dikenali sebagai Nurcamillajonny yang mendakwa premis makanan berasaskan ayam itu tetap beroperasi walaupun telah diarahkan tutup oleh KKM kerana masalah kebersihan.
Jelas individu itu, tindakan pengusaha restoran terbabit bukan sahaja mengabaikan perintah pihak berkuasa, tetapi turut merisikokan pelanggan yang membeli.
“Bukan nak tutup periuk nasi orang tapi ini dah salah tau. KKM arahkan tutup sebab kotor kena buat pembersihan tapi kedai ini sentiasa ada rider (penghantar makanan) datang pickup (ambil) makanan walaupun dekat cermin masih bertampal memo penutupan kedai.
“Ini kira dah aniaya pembeli yang tak tahu kedai tu kotor. Saya kerja kawasan sini memang hari-hari nampak tikus gemuk keluar dari longkang apa semua,” dakwanya.
Mengulas lanjut individu itu berkata, kedai tersebut sememangnya kotor dan cara penyediaan makanan pun tidak mengikut standard ditetapkan.
“Masuk kedai ini pun tak ‘proper’ penyediaan makanan dia dengan lauk tak bertutup. Tandas jangan cakap memang kotor sangat,” dakwanya lagi.
Berdasarkan notis KKM yang ditampal pada premis tersebut, ia terletak di sebuah kawasan di Bandar Sierra Putri di Sepang.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna mengecam premis tersebut yang sengaja mengabaikan notis penutupan daripada pihak berkuasa.
“Tak, yang membeli pun tak baca ke notis sebesar alam dekat pintu tu?,” soal Wmcami98.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Eerlingkayland.
“Kalau macam ni wajib dah arahkan tutup terus. Ingkar arahan dan membahayakan pembeli!,” tegasnnya. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














