HARGA tiket Formula Satu (F1) Grand Prix Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang akan ditentukan sepenuhnya oleh Bahrain selaku pemegang hak penganjuran, namun Litar Antarabangsa Sepang (SIC) akan berunding bagi mendapatkan harga istimewa atau pakej khas buat peminat tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, semua keputusan berkaitan harga tiket berada di bawah bidang kuasa Bahrain kerana negara itu menanggung yuran hak penganjuran perlumbaan berprestij berkenaan.
Menurutnya, hasil jualan tiket juga akan disalurkan kepada Bahrain, sekali gus menyebabkan SIC tidak mempunyai kuasa mutlak untuk menetapkan harga atau struktur penjualan tiket.
“Pada masa ini, semua perkara berkaitan penjualan tiket masih dalam perbincangan dengan Bahrain. Apa yang saya faham, semua hasil jualan tiket akan kembali kepada Bahrain kerana mereka yang membayar yuran hak penganjuran.
“Kita akan cuba sedaya upaya mendapatkan harga istimewa, mungkin menerusi harga khas MyKad atau pakej tertentu untuk rakyat Malaysia, namun keputusan muktamad tetap berada di tangan Bahrain,” katanya ketika ditemui selepas sidang media berhubung penganjuran F1 Grand Prix Bahrain di SIC semalam.
Mengulas harapan peminat mendapatkan tiket pada harga di bawah RM100 seperti tiket perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP), Azhan mengakui impian itu sukar direalisasikan berdasarkan nilai komersial perlumbaan F1 ketika ini.
“Secara realistik memang sukar untuk kita menawarkan tiket di bawah RM100. Saya sendiri sudah meneliti harga tiket di beberapa penganjuran F1 di seluruh dunia dan harganya memang jauh lebih tinggi.
“Namun, kita akan cuba mendapatkan nilai terbaik untuk peminat tempatan melalui rundingan dengan Bahrain supaya beban kepada penyokong Malaysia dapat dikurangkan,” katanya.
Azhan berkata, segala butiran termasuk harga, kategori tiket, kuota untuk rakyat Malaysia serta tarikh jualan dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat dengan sasaran penjualan tiket bermula seawal Ogos ini.














