PETALING JAYA – Rockstage Entertainment mengeluarkan panggilan terakhir kepada peminat muzik tanah air dan serantau untuk mendapatkan tiket Konsert Mangu di Kuala Lumpur berikutan jualannya kini berada pada tahap kritikal.
Konsert yang dijadual berlangsung pada 15 Ogos ini di Zepp Kuala Lumpur (Zepp KL) dijangka menghimpunkan ribuan peminat apabila sebahagian besar tiket telah berjaya dijual.
Menurut pihak penganjur, sambutan luar biasa diterima sejak jualan tiket dibuka dengan beberapa kategori termasuk Rock Zone dan tempat duduk premium hampir habis ditempah.
Konsert berkenaan bakal diterajui vokalis popular Indonesia, Ari Lesmana, yang akan mempersembahkan rangkaian lagu hitnya kepada peminat Malaysia.
Lebih menarik, persembahan itu turut menampilkan kolaborasi eksklusif bersama DJ Firza, sekali gus menjanjikan pengalaman audio dan visual yang lebih segar buat penonton.
Malam tersebut turut diserikan dengan persembahan pembukaan daripada Enau, manakala MC Millvrd akan mengendalikan acara sepanjang konsert berlangsung.
Wakil Rockstage Entertainment berkata, sambutan yang diterima membuktikan peminat tempatan sentiasa menantikan persembahan berkualiti daripada artis serantau.
“Kami amat terharu dengan sokongan yang diberikan. Sambutan luar biasa ini membuktikan peminat sentiasa menghargai persembahan berkualiti tinggi.
“Dengan tarikh konsert yang semakin hampir, kami menggalakkan orang ramai mendapatkan tiket segera sebelum jualan ditutup sepenuhnya,” katanya.
Konsert Mangu di Kuala Lumpur akan berlangsung pada 15 Ogos 2026 (Sabtu) di Zepp Kuala Lumpur (Zepp KL). Pintu dewan akan dibuka bermula pukul 7 malam, manakala tiket masih boleh didapati menerusi platform rasmi myticketempire.com.














