PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir susulan jangkaan hujan lebat melibatkan beberapa kawasan di Semenanjung dan Sarawak hingga pukul 12 tengah hari ini.
MetMalaysia dalam kenyataannya berkata, di Semenanjung, kawasan terlibat adalah Perlis, Kedah (Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Yan, Pendang, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu), Pulau Pinang dan Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama dan Hulu Perak).
“Hujan lebat turut diramal berlaku di Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai) dan Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Marang),” katanya.
Dalam kenyataan sama, MetMalaysia menjangkakan cuaca buruk pagi ini juga tertumpu sekitar negeri Selangor melibatkan kawasan Klang, Kuala Langat dan Sepang.
“Di Sarawak pula, amaran hujan lebat melibatkan kawasan Serian,” lapor MetMalaysia. – KOSMO! ONLINE














