KUALA PILAH – Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Menanti khususnya Ulu Bendul mempunyai potensi besar untuk dikembangkan sebagai destinasi pelancongan yang lebih menarik dan mampu menerima lebih ramai pengunjung.
Seorang peniaga, Adam Bahari, 62, berkata, Ulu Bendul sememangnya sudah dikenali dalam kalangan masyarakat, namun kemudahan serta persekitarannya perlu terus ditambah baik supaya kawasan berkenaan kekal menjadi pilihan pengunjung.
“Kalau Ulu Bendul dapat dicantikkan lagi, saya percaya lebih ramai orang akan datang dan boleh buka peluang perniagaan kepada penduduk. Kawasan ini ada potensi, cuma perlu diperbaiki dan dinaik taraf dari semasa ke semasa,” katanya.
Selain itu, dia berharap wakil rakyat yang dipilih kelak turut memberi perhatian lebih serius terhadap kebajikan, keselamatan dan kemudahan asas penduduk kampung.
Bagi mereka, kehadiran pemimpin bukan sekadar ketika musim pilihan raya, sebaliknya perlu diteruskan melalui ziarah, kunjungan dan tindakan menyelesaikan masalah yang dihadapi masyarakat.
Adam yang sudah lebih 30 tahun menetap di kawasan tersebut berkata, untuk tempoh kempen pilihan raya berkenaan, beliau sering nampak calon turun ke surau berhampiran berikutan kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) terletak berhampiran.
“Bagi saya, apa yang lebih penting ialah wakil rakyat yang diberikan mandat nanti membantu rakyat dan perbaiki apa yang masih kurang. Penduduk mahu pemimpin yang sering turun padang,” katanya.
Sementara itu, penduduk Kampung Tanah Liat, Mohd Sharif Mustafa, 80, berkata, masyarakat kampung mengharapkan calon yang memahami kehidupan penduduk luar bandar serta mengetahui keperluan sebenar mereka.
Menurutnya, penduduk akan menilai calon berdasarkan latar belakang, sikap serta keupayaan untuk membawa kebaikan kepada Seri Menanti, bukan semata-mata berdasarkan janji ketika berkempen.
“Kita orang kampung hanya berharap perkara yang baik. Pilihlah jalan yang betul dan utamakan keperluan kampung kerana masih banyak perkara yang perlu diberi perhatian,” katanya.
Mohd Sharif berkata, antara harapan utama penduduk Kampung Tanah Liat ialah pembinaan sebuah surau baharu bagi menggantikan surau sedia ada yang dipercayai telah berusia lebih 50 tahun.
“Kalau ada rezeki dan wakil rakyat baharu dapat membantu, kami mahu memohon sebuah surau baharu. Surau lama sudah terlalu lama dan bahaya untuk digunakan,” katanya.






