KUALA LUMPUR – Cuaca sejuk dan hujan yang membasahi bumi Glasgow tidak sedikit pun menggugat misi jaguh lompat jauh para negara, Datuk Abdul Latif Romly untuk membawa pulang pingat emas buat Malaysia sekali gus menyempurnakan sasaran lima emas kontinjen negara pada Sukan Komanwel 2026.
Latif yang turun dengan misi memburu emas berjaya menunaikan impian itu apabila mengungguli acara lompat jauh kategori T20 tersebut menerusi lompatan sejauh 7.17 meter (m), sekali gus memastikan lagu Negaraku berkumandang di bumi Scotland.

Jaguh berusia 29 tahun itu nyata berada dalam kelas tersendiri apabila menewaskan pencabar terdekat dari Kanada, Noah Vucsics yang meraih pingat perak menerusi lompatan sejauh 6.66m, manakala seorang lagi atlet negara, Eljoe Gotuoh menghadiahkan pingat gangsa dengan catatan 6.51m.
Kejayaan jaguh Paralimpik negara itu bukan sahaja menambah koleksi emas kontinjen negara, malah memastikan Malaysia berjaya mencapai sasaran lima pingat emas yang ditetapkan sebelum temasya bermula.
Terdahulu, empat lagi pingat emas negara disumbangkan menerusi acara angkat berat hasil kejayaan empat badang negara, Mohamad Aniq Kasdan dalam kategori 60 kilogram (kg), Muhamad Aznil Bidin (65kg), Muhammad Erry Hidayat (79kg) dan Muhammad Hafizuddin Roslin (88kg). -KOSMO! ONLINE














