KEGAGALAN dalam dua edisi terdahulu menjadi pembakar semangat buat atlet angkat berat negara, Muhammad Erry Hidayat ketika meraih pingat emas kategori 79 kilogram (kg) lelaki pada Sukan Komanwel Glasgow 2026.
Badang berusia 27 tahun itu menyumbang kilauan pingat emas ketiga buat kontinjen negara selepas melakukan dua angkatan rekod temasya, iaitu 331kg untuk keseluruhan dan 184kg (clean & jerk) manakala 147kg bagi acara snatch.
Erry menyuarakan rasa gembira kerana penyertaan ketiganya dalam temasya sukan tersebut akhirnya membuahkan hasil, sekali gus mengikut jejak langkah bapanya, Hidayat Hamidon yang turut memenangi pingat emas pada edisi 1998 di Kuala Lumpur.
“Perasaan saya sangat gembira kerana ini merupakan salah satu impian saya sejak mula menceburkan diri dalam angkat berat. Saya bukan cakap nak masuk Olimpik, tetapi mahukan emas Komanwel kerana mahu ikut jejak langkah ayah.
“Selepas tiga temasya dan selama 12 tahun, akhirnya saya dapat pingat emas. Saya sudah tunaikan janji kepada ayah untuk mendapatkan pingat emas, jadi akan cuba lebih baik lagi pada temasya akan datang,” katanya kepada Majlis Sukan Negara (MSN).
Pada acara yang berlangsung di SEC Armadillo awal pagi semalam, pingat perak menjadi milik atlet India, Valluri Ajaya Babu menerusi angkatan keseluruhan 330kg manakala Chris Murray (325kg) dari England meraih pingat gangsa.
Kejayaan yang dilakar Erry sebenarnya tidak mudah apabila dia gagal melakukan angkatan snatch dalam dua percubaan awal selain perlu mengharapkan angkatan terakhir dalam acara clean & jerk bagi memastikan pingat emas menjadi miliknya
“Ketika snatch memang berdebar kerana jika gagal melakukan angkatan ketiga, saya akan tersingkir. Bagaimanapun, sorakan yang bergema di stadium membuatkan saya bersemangat dan berpesan kepada diri sendiri.
“Angkatan penentu emas pula memang menjadi detik bermakna kerana ini adalah impian saya. Jurulatih juga beri kata-kata semangat bahawa saya perlu menunggu empat tahun lagi jika gagal melakukan angkatan dan saya berjaya melakukannya,” ujarnya.














