MUHAMAD Faqrullah akui puas apabila berjaya menghadirkan pingat emas buat kontinjen Selangor.

Sukma 2026: Ragbi terkubur, emas dijulang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KAJANG – Keputusan Muhamad Faqrullah Muh meninggalkan sukan ragbi menjadi percatuan berbaloi selepas berjaya menyumbangkan pingat emas buat Selangor dalam acara angkat berat kategori 110 kilogram (kg) di Dewan Seri Cempaka MPKJ, hari ini.

Istilah putus asa tidak pernah wujud dalam dirinya selepas tidak mampu untuk mengembangkan karier sebagai pemain ragbi ke peringkat tertinggi.

“Saya mula (main angkat berat) tingkatan dua, kemudian saya berhenti sekejap sebelum kembali sambung semasa di tingkatan empat. Mula-mula saya ikut kawan, selepas itu saya mula terbiasa dan mula suka untuk aktif dalam sukan ini.

“Asalnya saya main ragbi tetapi saya rasa tidak mampu untuk pergi jauh, paling tinggi pun ke MSSS (Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Selangor). Sebab itu saya mula babitkan diri dengan angkat berat,” katanya.

Dalam aksi hari ini, Muhamad Faqrullah Muh melakukan angkatan keseluruhan 290kg, iaitu 130kg untuk snatch dan 160kg bagi clean and jerk.

Wakil Terengganu, Iskandar Zulkarnain Ahmad meraih perak dengan angkatan keseluruhan 285kg (128kg, 157kg) manakala Muhammad Alianafiah dari Sabah meraih gangsa menerusi angkatan keseluruhan 275kg (125kg, 150kg).

Mengulas lanjut, Muhamad Faqrullah akui gembira kerana mampu menghadirkan kilauan emas walaupun terpaksa berdepan kecederaan belakang, dua bulan sebelum Sukma bermula.

“Saya cakap, saya perlu cuba, yakin pada diri sendiri untuk capai kejayaan. Menu wajib setiap pagi adalah telur, kalau sebelum Sukma, (makan) 10 biji tetapi kalau nak kuatkan lagi badan, saya makan lebih banyak lagi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN