ATLET angkat berat negara, Muhamad Aznil Bidin melakar sejarah tersendiri apabila mencatat hatrik pingat emas selepas memenangi kategori 65 kilogram (kg) lelaki pada temasya Sukan Komanwel Glasgow 2026.
Lebih menakjubkan, atlet berusia 32 tahun itu melakukan tiga catatan rekod temasya menerusi angkatan keseluruhan 299kg, acara snatch 133kg selain mengangkat bebanan 166kg bagi acara clean & jerk.
Pingat emas itu sekali gus menyaksikan Aznil berjaya memenangi pingat emas dalam tiga Komanwel berturut-turut selepas turut menjadi juara pada edisi Gold Coast 2018 bagi kategori 62kg serta Birmingham 2022 (61kg).
Bagaimanapun, atlet kelahiran Kedah itu belum puas dengan pencapaian tersebut apabila menjadikan ia sebagai inspirasi untuk memenangi pingat emas keempat pada temasya Komanwel yang akan datang.
“Saya sudah memenangi tiga pingat emas dan pencapaian ini menjadi pembakar semangat untuk saya memburu pingat emas keempat. Kejayaan ini memberikan motivasi untuk saya mengejar sasaran utama, iaitu melayakkan diri ke Sukan Olimpik,” katanya.
Pada aksi final itu, pingat perak menjadi milik atlet India, Raja Muthupandi yang melakukan angkatan keseluruhan 286kg manakala Morea Baru dari Papua New Guinea berpuas dengan gangsa menerusi angkatan 282kg.
Sementara itu, seorang lagi ‘badang’ negara, Mohamad Aniq Kasdan turut cemerlang apabila menyumbang pingat emas pertama Malaysia di Glasgow selepas memenangi kategori 60kg dengan melakukan angkatan keseluruhan 273kg.
Dalam saingan wanita, Irene Jane Henry turut menyumbang pingat buat kontinjen negara apabila meraih pingat gangsa menerusi acara 48kg wanita selepas melakukan angkatan keseluruhan 167kg.














