fbpx
ANIQ sukar digugat pada aksi final angkat berat kategori 60kg lelaki apabila memenangi pingat emas menerusi angkatan rekod temasya 273kg.

Sukan Komanwel: Aniq sumbang emas pertama, lebur rekod temasya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kontinjen Malaysia akhirnya menuai pingat emas pertama pada temasya Sukan Komanwel Glasgow 2026 menerusi jaguh angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan.

Aniq yang beraksi dalam kategori 60 kilogram (kg) lelaki memastikan emas menjadi milik negara selepas melakukan angkatan keseluruhan 273 kg, termasuk 121kg snatch dan 152kg clean & jerk.

Turun sebagai pilihan pada aksi final yang berlangsung di SEC Armadillo sebentar tadi, atlet berusia 24 tahun itu berdepan tentangan sengit jaguh India, Rishikanta Singh.

Dalam acara snatch, Aniq melakukan angkatan terbaik 121kg pada percubaan ketiga dan terikat dengan Rishikanta yang memahat namanya selaku pemegang rekod temasya bagi acara tersebut.

Walaupun berkongsi angkatan sama 121kg, namun rekod temasya snatch menjadi milik Rishikanta memandangkan dia terlebih dahulu mengangkat bebanan tersebut.

Ketika aksi beralih ke acara clean & jerk, Aniq bermula dengan langkah positif apabila berjaya melakukan angkatan 145kg semasa percubaan pertama.

Harapan emas semakin menyinar apabila Rishikanta gagal untuk melakukan angkatan 148kg pada percubaan keduanya sebelum Aniq tenang mengangkat 149kg.

Kemudian, kilauan pingat emas sah menjadi milik Malaysia apabila pencabar dari India itu gagal mengangkat bebanan 151kg pada percubaan terakhirnya.

Tidak cukup sekadar emas, Aniq meleburkan rekod temasya bagi acara clean & jerk dan keseluruhan apabila melakukan angkatan 152kg pada percubaan terakhir dengan jumlah angkatan 273kg. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN