TEHRAN – Iran semalam menyatakan bahawa tenteranya kini semakin kuat sejak permulaan perang dengan Amerika Syarikat, ketika pengantara termasuk Qatar berusaha untuk menghalang sebarang pertempuran kembali meletus selepas kebuntuan konflik berlarutan selama berbulan-bulan.
Washington turut menawarkan ganjaran sebanyak AS$20 juta (RM81 juta) untuk sebarang maklumat berkaitan program nuklear Tehran.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, berkata menerusi Instagram pada semalam bahawa dalam tempoh 48 jam yang lalu, beliau telah mengadakan perbualan telefon dengan menteri-menteri dari 12 negara.
Sementara itu, Presiden AS Donald Trump telah menghubungi Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani, pada kelmarin bagi membincangkan usaha untuk menamatkan perang tersebut.
Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, memuji rakan sejawatannya dalam pentadbiran AS atas ‘niat ikhlas untuk mencari jalan bagi membendung situasi ini dan meredakan ketegangan’.
“Terima kasih juga kepada beberapa pihak yang berpandangan bijak di Tehran, kita telah berjaya menghalang perkara ini daripada menjadi tidak terkawal,” katanya di Oxford.
Trump berkata Iran yang ditegaskannya telah mengalami kerosakan teruk pada ekonomi dan tenteranya sepanjang lapan bulan peperangan amat terdesak untuk menamatkan konflik itu.
“Kami sedang berurusan dengan mereka sekarang. Mereka sangat mahu membuat perjanjian,” katanya. – AFP
















