KETUA jurulatih skuad B-16 negara, Muhammad Shukor Adan menuntut anak buahnya memburu kemenangan ke atas Palestin dalam aksi pembukaan Kumpulan E kelayakan Piala Asia B-17 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam ini.
Shukor menegaskan tiga mata pertama amat penting untuk membina momentum positif, sekali gus membuka laluan skuad negara memburu tiket ke pusingan akhir.
Bagaimanapun, Shukor yang juga bekas pemain kebangsaan mengingatkan pemain supaya berwaspada dengan kelebihan fizikal dan kekuatan mental dimiliki Palestin.
“Perlawanan pertama sangat penting dan saya harap pemain dapat menterjemahkan aksi terbaik di atas padang serta memastikan tiga mata,” katanya.
Sementara itu, ketua pasukan, Adam Muqri Muhaizam turut yakin rakan-rakan sepasukan sudah memahami taktikal yang barisan kejurulatihan sudah tetapkan.
“Saya rasa pasukan ini sudah sedia sepenuhnya dan setiap pemain sedia memberikan tentangan sengit menentang Palestin,” katanya.
Sebagai rekod, hanya juara setiap kumpulan layak ke pusingan akhir Piala Asia B-17 2027 di Uzbekistan dari 12 hingga 29 Mei tahun depan.








