PORT DICKSON – Seorang penerima Program Rumah Harapan Rakyat Negeri Sembilan, Muhamad Rezuan Halim, 33, melahirkan penghargaan kepada penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuah, Datuk Yew Boon Lye atas usaha memudahkan urusan permohonannya sehingga berjaya memiliki kediaman sendiri.
Muhamad Rezuan bekerja di sebuah kilang di Bandar Enstek dengan pendapatan sekitar RM2,100 sebulan berkata, sebelum ini beliau bersama isteri, Nuraisyah Zakaria, 33, dan anak mereka yang kini berusia enam bulan hanya menumpang di rumah ibunya.
Menurutnya, beliau mengetahui mengenai Program Rumah Harapan Rakyat menerusi iklan yang disiarkan di Facebook Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS) sebelum mengemukakan permohonan.
“Selepas berkahwin lebih kurang setahun, saya memohon program ini. Syarat utama ialah mempunyai tanah sendiri serta mendapat persetujuan pemilik tanah. Alhamdulillah, proses permohonan berjalan dengan mudah,” katanya.
Beliau berkata, rumah yang diterimanya mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air, manakala tempoh pembinaannya mengambil masa kira-
kira empat bulan.
Katanya, bantuan daripada Ketua Kampung dan penyandang ADUN Chuah itu turut memudahkan urusan mendapatkan pengesahan serta kelulusan dokumen diperlukan.
“Komitmen bulanan saya hanya sekitar RM238 sebulan untuk tempoh 25 tahun, jauh lebih rendah berbanding kebanyakan pembiayaan rumah lain.
“Program ini sangat membantu terutama kepada pasangan muda yang baru berumah tangga dan mempunyai tanah sendiri untuk membina rumah,” ujarnya.
Katanya, beliau berharap lebih ramai penduduk yang layak di kawasan tersebut dapat memanfaatkan Program Rumah Harapan Rakyat kerana prosedur permohonan yang jelas termasuk proses pengukuran dan kelulusan tanah.
Beliau turut menyifatkan wakil rakyat yang mengutamakan kebajikan serta membantu menyelesaikan masalah rakyat wajar diberi penghargaan.
“Bagi saya, wakil rakyat yang menjaga kawasan dengan baik dan mengutamakan bantuan kepada rakyat sudah tentu menjadi pilihan penduduk,” katanya.














