BESUT – Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun maut selepas kereta yang dinaiki dirempuh sebuah trak pikap dipandu lelaki dipercayai berada di bawah pengaruh dadah di Jalan Bukit Payong di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 12 tengah hari itu, mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan beberapa angota badan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superindendan Md. Sani Md. Saleh berkata, ketika kejadian, remaja itu memandu kereta dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Bukit Payong.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dikatakan ternampak sebuah trak pikap di laluan bertentangan yang dipandu dalam keadaan terhuyung-hayang sebelum memasuki laluannya.
“Mangsa yang cemas dipercayai cuba mengelak dengan menukar haluan ke laluan bertentangan. Walau bagaimanapun pemandu trak pikap sekali lagi menukar haluan menyebabkan berlaku pertembungan,” ” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Beliau berkata, mangsa meninggal dunia di dalam keretanya yang remuk teruk. Mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut di sini untuk tindakan lanjut.
“Ujian saringan awal air kencing mendapati pemandu trak pikap tersebut positif dadah jenis ketamin,” katanya. – KOSMO! ONLINE














