fbpx
Tengku Razaleigh Hamzah.

Saya percaya ini gelombang arus perubahan – Ku Li

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah percaya kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menandakan bermulanya era baharu kepimpinan parti.

Tengku Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li berkata, kejayaan tersebut membuktikan pemimpin muda mempunyai keupayaan untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap UMNO dan BN.

Menurut beliau, kemenangan di Johor menjadi titik permulaan kepada kebangkitan semula UMNO, serta memberi ruang kepada lebih ramai pemimpin muda yang memiliki semangat juang, komitmen serta keikhlasan dalam memperjuangkan nasib rakyat.

“Saya juga amat yakin ini adalah satu titik permulaan yang boleh mempamerkan kebolehan ahli-ahli muda kita.

“Bila tiba masanya nanti, mereka boleh mengambil alih tampuk kepimpinan parti dan seterusnya negara pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, potensi kepimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi mula terserlah apabila beliau bersama pasukannya tampil membantu Ku Li dalam pertandingan jawatan Presiden UMNO pada 2018, sebelum akhirnya membuktikan kemampuan mereka menerusi kemenangan BN pada PRN Johor.

“Saya merasa amat bertuah untuk melihat sendiri gelombang terbaru UMNO ini. Saya dapat rasakan ini memungkinkan satu titik baru di mana UMNO akan merealisasikan perjuangan parti ini,” katanya.

Beliau berkata, kepercayaan rakyat yang kembali memihak kepada UMNO selepas kemenangan di Johor pada PRN lalu perlu dimanfaatkan sebaik mungkin dengan membuktikan parti semakin peka menyelesaikan masalah dihadapi rakyat.

Tambahnya, pendekatan terbaru yang dibawa UMNO Johor serta UMNO Malaysia berpotensi menjadi pemangkin kepada perubahan budaya kerja parti, selain mengukuhkan hubungan dengan rakyat.

Dalam pada itu, menurut Ku Li, hala tuju baharu UMNO mengingatkannya kepada semangat perjuangan parti pada era Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Hussein Onn yang berpegang teguh kepada Perlembagaan Persekutuan, Undang-Undang Tubuh Negeri-Negeri serta falsafah perjuangan UMNO sejak penubuhannya pada 1946.

Beliau berharap usaha memperkukuh UMNO diteruskan supaya parti itu kembali ke landasan asal perjuangannya dan terus mendapat sokongan rakyat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN