MELAKA – Seramai 10 kanak-kanak lelaki berusia antara lapan hingga 13 tahun dilaporkan menjadi mangsa amang seksual fizikal seorang peniaga, sejak Mac lalu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kes dilaporkan berlaku di sekitar Duyong dan Telok Mas dengan salah seorang mangsa dipercayai turut terbabit dengan perlakuan seks luar tabii.
Katanya, seorang peniaga berusia 36 tahun kemudian dicekup oleh orang awam kira-kira pukul 6 petang semalam di Balairaya Taman Desa Duyong dekat sini, selepas disyaki terlibat dalam kejadian tersebut.
“Polis menahan semula lelaki tersebut bagi membantu siasatan berhubung beberapa kes amang seksual terhadap kanak-kanak lelaki di sekitar Duyong dan Telok Mas.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek dipercayai terlibat dalam 10 kes melibatkan 10 kanak-kanak lelaki berusia antara 8 hingga 13 tahun yang berlaku dalam tempoh Mac hingga Julai 2026,” katanya pada pemberita di sini, hari ini.
Jelasnya, kesemua kanak-kanak lelaki itu telah didekati suspek ketika mereka berada di taman permainan dan selepas menunaikan solat di surau sebelum melakukan perbuatan tidak senonoh pada mangsa.
Katanya, salah seorang kanak-kanak berusia 13 tahun juga disyaki menjadi mangsa perlakuan luar tabii yang dipercayai berlaku di rumah suspek.
“Suspek turut melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun di sebuah pasar raya dan kedai makan di Semabok.
“Lelaki itu kini direman selama tujuh hari sehingga 19 Julai ini bagi membantu siasatan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya. – KOSMO! ONLINE















