fbpx
SZE FEI (kiri) dan Izzuddin mendominasi aksi set kedua ketika menewaskan beregu Singapura hari ini. - MUHAMAD IQBAL ROSLI

Terbuka Indonesia: DinFei ‘lulus’ ujian pertama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani tidak berdepan banyak masalah ketika meneruskan kemaraan ke pusingan kedua pada Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia.

Pada aksi pusingan pertama yang berlangsung di Istora Senayan, Jakarta hari ini, bekas gandingan No.1 dunia itu mencatat kemenangan straight-set 21-17, 21-16 ke atas beregu Singapura, Wesley Koh-Junsuke Kubo.

Turun sebagai pilihan ketujuh, beregu yang diberi julukan DinFei itu bagaimanapun ketinggalan terlebih dahulu 9-13 di set pertama sebelum kembali mengejar mata demi mata dan menang 21-17.

Sze Fei-Izzuddin yang merupakan beregu No.8 dunia mendapat tonik tambahan hasil kemenangan di set pertama dan mereka berjaya mendominasi sepenuhnya aksi set kedua apabila tidak memberikan peluang kepada lawan untuk memimpin permainan.

Walaupun Koh-Kubo cuba untuk sekurang-kurangnya merapatkan kedudukan, namun jurang mata yang cukup besar memberi kelebihan kepada Sze Fei-Izzuddin untuk bermain lebih selesa sebelum melengkapkan kemenangan dalam tempoh 31 minit.

Menjelang pusingan kedua Khamis ini, Sze Fei-Izzuddin akan menantikan pemenang perlawanan antara beregu Jepun, Takumi Nomura-Yuichi Shimogami dan Ben Lane-Sean Vendy dari England. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN