fbpx
Wan Suraya penerima Anugerah Donald R. Cressey pertama dari ASEAN dan kedua dari Asia di Boston baru-baru ini.

Ketua Audit Negara penerima Donald R. Cressey pertama dari ASEAN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Malaysia mencatat satu lagi pencapaian penting di persada antarabangsa apabila Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi, diumumkan sebagai penerima Donald R. Cressey Award 2026 di Boston, Massachusetts, Amerika Syarikat.

Jabatan Audit Negara menerusi kenyataan memaklumkan, pengiktirafan tertinggi itu dianugerahkan oleh Association of Certified Fraud Examiners (ACFE), iaitu organisasi profesional anti-fraud terbesar dunia.

“Pengiktirafan berprestij antarabangsa dalam bidang anti-fraud dan tadbir urus yang diperkenalkan sejak tahun 1989 tersebut merupakan satu pencapaian julung kali bagi Malaysia.

“Datuk Seri Wan Suraya Wan merupakan penerima pertama dari rantau ASEAN dan kedua dari rantau Asia bagi anugerah tersebut. Beliau juga merupakan Ketua Audit Negara pertama di dunia menerima anugerah itu sejak ia diperkenalkan 37 tahun lalu,” katanya hari ini.

Jabatan Audit Negara turut memetik kenyataan Presiden ACFE, John Gill, J.D., CFE yang berkata, Wan Suraya mencerminkan standard kecemerlangan dan integriti tinggi, selaras dengan nilai yang sinonim dengan Anugerah Cressey.

“Beliau menjadi lambang inovasi dan integriti di rantau Asia Pasifik serta di peringkat antarabangsa.

“ACFE berbesar hati untuk mengiktiraf impak yang telah dibawa oleh beliau serta mengetengahkan pendekatan inovatifnya dalam pengauditan dan pengurusan risiko penipuan yang berjaya meningkatkan ketelusan serta kepercayaan dalam sektor awam di Malaysia dan rantau ini,” katanya.

Terdahalu, anugerah disampaikan kepada Wan Suraya semasa Persidangan Global Mengenai Penipuan ACFE Kali Ke-37 di Boston, Massachusetts, Amerika Syarikat baru-baru ini.

Persidangan berkenaan menghimpunkan lebih 5,000 profesional anti-fraud dari seluruh dunia, merangkumi sektor awam dan swasta.

Pengiktirafan ini bukan sahaja mengangkat nama Malaysia di pentas antarabangsa, malah mencerminkan keyakinan antarabangsa terhadap komitmen negara dalam memperkukuh tadbir urus, integriti, ketelusan dan akauntabiliti sektor awam, khususnya melalui peranan audit yang bebas, berwibawa dan berimpak.

Mengulas lanjut, Jabatan Audit Negara telah melaksanakan pelbagai pembaharuan termasuk pindaan Akta Audit 1957 pada tahun 2024.

Ia memperkukuh pendekatan audit berasaskan data melalui Pendigitalan Perkhidmatan JAN (PPJ), penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan analitik data raya, serta memperkasakan Papan Pemuka Ketua Audit Negara sebagai instrumen pemantauan susulan audit secara masa nyata.

“Reformasi ini telah mengubah peranan audit daripada sekadar mengenal pasti kelemahan kepada memastikan tindakan pembetulan dilaksanakan, memperkukuh
tadbir urus, melindungi wang awam dan meningkatkan akauntabiliti secara berterusan.

“Pengiktirafan Donald R. Cressey Award 2026 membuktikan bahawa pembaharuan yang diterajui Malaysia kini menjadi rujukan dan mendapat pengiktirafan komuniti anti-fraud antarabangsa,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN