fbpx
Ara Aziz mencipta pencapaian membanggakan apabila melangkah ke institusi pengajian tinggi pada usia seawal 15 tahun di peringkat asasi.

Luar biasa, anak Aziz M. Osman daftar universiti umur 15 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Anak kepada pengarah Aziz M. Osman dan penerbit Puteri Lily Lokman, Ara Aziz mencipta pencapaian membanggakan apabila melangkah ke institusi pengajian tinggi pada usia seawal 15 tahun.

Ara atau nama sebenarnya Puteri Nur Azzahra meluahkan rasa syukur apabila memulakan pengajian peringkat asasi di Manipal University College Malaysia selepas menduduki peperiksaan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) tahun lalu.

“Alhamdulillah, satu detik penuh bermakna dan tidak akan saya lupakan. Melangkah masuk ke Manipal University College Malaysia sebagai antara pelajar paling muda membuatkan saya berasa teruja, namun dalam masa sama merendah diri.

“Setiap perjalanan besar bermula dengan satu langkah kecil dan hari ini, perjalanan saya bermula.

“Walaupun menjadi pelajar paling muda dalam kelas, saya tetap mempunyai impian sebesar orang lain,” tulisnya dalam Instagram.

Sementara itu, ibunya, Puteri Lily Lokman mengesahkan Ara kini mengikuti pengajian peringkat asasi dan memaklumkan anak sulungnya itu sudah menunjukkan minat mendalam terhadap bidang sains sejak kecil.

“Ara memang sejak kecil sukakan subjek sains. Dia bercita-cita mendalami bidang neurologi, tetapi saya beritahu belajar asas terlebih dahulu.

“Mana tahu ketika belajar nanti dia menemui minat dalam bidang lain. Terokalah sebanyak mungkin ilmu,” jelasnya.

Menurutnya, minat Ara terhadap bidang neurologi lahir daripada sifat ingin tahu mengenai fungsi otak manusia dan perbezaan cara setiap individu berfikir.

“Saya ingin berkongsi sesuatu tentang Ara. Sejak kecil dia bukan seorang yang suka menghakimi orang lain. Kalau melihat tingkah laku seseorang, dia akan bertanya, ‘Bagaimanakah otak orang itu boleh berfikir sedemikian? Mengapa setiap manusia mempunyai corak pemikiran berbeza?’

“Sebab itulah dia bercita-cita menjadi pakar bedah otak. Baginya, ciptaan Allah sangat menakjubkan. Bentuk otak manusia hampir sama, tetapi corak pemikiran setiap orang berbeza-beza,” kongsinya.

Perkongsian tersebut menerima pelbagai reaksi positif daripada netizen, malah ramai mengucapkan tahniah selain mendoakan agar Ara terus cemerlang dalam pengajian dan berjaya merealisasikan impiannya sebagai pakar bedah otak.

Ara merupakan cahaya mata hasil perkahwinan Puteri Lily Lokman dan Aziz M. Osman.

Bekas peserta program Talk To My Manager musim pertama itu turut mempunyai seorang adik lelaki, Putera Muhamad Aryan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN