fbpx
Anggota bomba berjaya menemui mangsa wanita yang terjatuh dari Jambatan Sultan Nazrin Shah di Bagan Datuk malam ini. - Foto IHSAN JBPM

8 jam, dua tragedi di Jambatan Sultan Nazrin Shah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAGAN DATUK – Jambatan Sultan Nazrin Shah di sini menyaksikan berlakunya dua kejadian terjatuh dari jambatan berkenaan dalam tempoh kira-kira 8 jam antara kedua-dua insiden terbabit.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, kejadian pertama melibatkan seorang lelaki berusia 42 tahun yang sehingga kini masih lagi belum ditemui pasukan penyelamat.

Katanya, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian menimpa mangsa, Mohd. Nor Ferdaus Mohd. Mokhtar tersebut pada pukul 11.36 pagi.

“Terima maklumat dari pihak polis terdapat seorang mangsa lelaki berbangsa Melayu dipercayai jatuh dari jambatan. 

“Setibanya jentera di lokasi terdapat sebuah motosikal Modenas Z15 GT milik mangsa berada di bahu jalan atas jambatan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, Pos Kawalan Bomba (PKB) telah dibuka di lokasi kejadian bagi tujuan penyelarasan operasi penyelamatan yang akan dilakukan. 

Sayani berkata, operasi pencarian surface searching menggunakan bot bomba dan bot Angkatan Pertahanan Awam (APM) dibuat dalam radius 3 kilometer (km) dari kawasan mangsa terjatuh bermula pada pukul 12.12 tengah hari.

“Pasukan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) tiba pada pukul 4.33 petang dan membuat pencarian surface searching kerana keadaan arus yang deras tidak membolehkan selaman dibuat,” katanya.

Sementara itu, bagi kes kedua pula, beliau berkata, pada pukul 7.15 malam, ketua operasi mandapat makluman dari pihak polis terdapat seorang wanita dewasa berbangsa Cina bersama dengan seorang kanak-kanak telah jatuh dari jambatan yang sama. 

Katanya, dua mangsa tersebut ialah Lim Li Yin, 38, dan Wong Long Hee, 2.

“Tindakan pantas bot bomba telah dapat menyelamatkan mangsa wanita yang terapung namun kanak-kanak terlibat tidak ditemui. Mangsa wanita diberi bantuan pernafasan (CPR) oleh anggota bomba dan dihantar ke Hospital Teluk Intan menggunakan ambulans APM,” katanya. 

Bagaimanapun, Sayani berkata, pihaknya menerima maklumat mangsa wanita telah meninggal dunia di Hospital Teluk Intan.

“Operasi ditangguhkan pada pukul 8.20 malam kerana keadaan cuaca dan faktor keselamatan. Operasi akan disambung pada 8 pagi esok,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN