PETALING JAYA – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meneruskan Misi Larian Kesyukuran memasuki hari kedua hari ini dengan ditemani orang ramai sepanjang laluan di Negeri Sembilan.
Menerusi siaran langsung di akaun TikTok rasminya, Syed Saddiq dilihat berlari bersama penyokong yang tidak putus-putus hadir memberikan semangat sepanjang perjalanan.
Siaran langsung itu turut mendapat sambutan apabila lebih 40,000 penonton mengikuti perkembangannya, selain meraih lebih 17 juta tanda suka di TikTok.
Beliau menamatkan larian hari kedua di sebuah stesen minyak di Kota sebelum berehat dan menyambung perjalanan pada pukul 7 pagi esok bersama tunangnya yang juga pelakon dan penyanyi, Dayang Ara Nabellah Awang Astillah atau lebih dikenali sebagai Bella Astillah.
Terdahulu, seramai 33,000 orang mengikuti dan memberi sokongan kepada bekas Menteri Belia dan Sukan itu yang memulakan Misi Larian Kesyukuran sejauh lebih 170 kilometer dari Putrajaya ke Muar, Johor, semalam.
Larian tersebut diadakan sebagai tanda kesyukuran selepas beliau dibebaskan daripada sabitan dan hukuman yang dihadapinya pada Isnin lalu.
Misi larian selama empat hari itu turut membawa matlamat kebajikan dengan sasaran mengumpul dana sebanyak RM200,000 menerusi akaun bank Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Muar.
Setakat hari pertama larian semalam, sebanyak RM54,692 berjaya dikumpulkan bagi membantu penduduk di kawasan Parlimen Muar. – KOSMO! ONLINE














