fbpx
Syed Saddiq

Syed Saddiq anjur larian, kumpul dana RM200,000 untuk Muar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MUAR – Selepas dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan Isnin lalu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bakal mengharungi satu lagi cabaran apabila akan berlari sejauh 150 hingga 170 kilometer (km) bagi mengumpul dana RM200,000 untuk membantu orang Muar.

Larian dinamakan Larian Kesyukuran Muar itu akan berlangsung selama empat hari bermula esok hingga Ahad ini melibatkan laluan dari Istana Kehakiman Putrajaya hingga ke Laman Maharani, Muar.

Menurut Ahli Parlimen Muar itu, program tersebut diadakan sebagai tanda kesyukuran selepas melalui tempoh mencabar sejak beberapa tahun lalu, selain menjadi platform mengumpul dana untuk golongan yang memerlukan.

“Kami menyasarkan kutipan sebanyak RM200,000 yang akan disalurkan untuk Bakul Makanan buat keluarga kurang berkemampuan dan pemberian iPad kepada pelajar yang memerlukan bagi tujuan pembelajaran.

“Keperluan makanan tidak boleh dikompromikan, manakala akses kepada peranti digital juga amat penting bagi memastikan pelajar tidak tercicir dalam pendidikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, orang ramai boleh mengikuti perkembangan menerusi siaran langsung di platform TikTok, Facebook dan YouTube.

Katanya, kesemua wang akan disalurkan melalui akaun rasmi Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Muar dengan nombor akaun, kod QR bank dan maklumat kempen dipapar menerusi pautan rasmi bagi memudahkan orang ramai membuat sumbangan.

Jumlah kutipan dana akan dikemas kini secara berkala, manakala laporan penuh penggunaan dan agihan akan dikongsikan selepas kempen berakhir sebagai tanda komitmen terhadap ketelusan dan akauntabiliti.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN