fbpx
Poster penafian berhubung surat perakuan nikah di akaun media sosial Jakim.

Jakim tidak lantik Majlis Ulama Rohingya Malaysia keluar perakuan nikah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta majlis dan jabatan agama Islam negeri tidak pernah melantik Majlis Ulama Rohingya Malaysia untuk menguruskan atau memperakukan urusan pernikahan.

Jakim dalam satu kenyataan berkata, semakan mendapati dokumen tersebut bukan merupakan dokumen diiktiraf atau dikeluarkan oleh mana-mana pihak berkuasa agama Islam di Malaysia.

“Oleh itu, orang ramai dinasihatkan tidak mempercayai dan menggunakan dokumen berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Pada masa sama, Jakim mahu orang ramai supaya sentiasa membuat semakan dengan pihaknya atau majlis atau jabatan agama Islam negeri sebelum mempercayai sebarang dokumen berkaitan urusan agama Islam yang diragui kesahihannya.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan akan menyiasat dakwaan berhubung sijil nikah Rohingya yang memaparkan kod dipercayai merujuk kepada Jakim.

Bagaimanapun, katanya, buat masa ini, pihaknya belum memperoleh maklumat berhubung perkara itu dan akan mendapatkan penjelasan terlebih dahulu sebelum mengulas lanjut.

Sebelum ini, tular di media sosial sekeping sijil perkahwinan yang didakwa dikeluarkan oleh Majlis Ulama Rohingya Malaysia dengan memaparkan kod “JAKIM.PERH/LN.800-7(5)”, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kaitan kod berkenaan dengan Jakim.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, JAIPk menegaskan bahawa ‘Kad Perakuan Nikah’ yang dikeluarkan atas nama Persatuan Ulama Masyarakat Rohingya Malaysia bukan dokumen yang diiktiraf jabatan itu.

Jelas JAIPk, pernikahan komuniti etnik Rohingya tidak boleh didaftarkan kerana melibatkan isu dasar yang sedang diperhalusi oleh pihak berkuasa agama negeri. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN