SHAH ALAM – Kemewahan kenderaan tidak menjamin terlepas daripada tindakan penguat kuasa apabila dua individu termasuk seorang warga emas ditahan kerana memandu Porsche dan BMW 520i tanpa cukai jalan dalam Ops Luxury di daerah ini dan Klang, semalam.
Dua pemandu berusia 37 dan 62 tahun itu ditahan dalam operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor.
Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, kes pertama membabitkan seorang ahli perniagaan wanita yang memandu Porsche di Persiaran Kerjaya, Glenmarie di sini kira-kira pukul 3.20 petang.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati lesen kenderaan motor (LKM) kenderaan berkenaan telah tamat tempoh selama 10 bulan sejak 9 September tahun lalu.
“Wanita yang dalam perjalanan ke Seksyen 13 itu mendakwa tidak sempat memperbaharui cukai jalan selain menyangka masih terdapat pengecualian bagi kenderaan elektrik (EV),” katanya hari ini.
Beliau berkata, seorang pemandu warga emas turut ditahan di jalan berdekatan Taman Maznah, Kampung Jawa, Klang, kira-kira pukul 6.40 petang.
“Semakan mendapati BMW dipandu lelaki menghala ke bandar Klang itu tiada cukai jalan lebih dua tahun sejak 30 Mac 2024. Pemandu yang tiada pekerjaan itu memberi alasan kereta berkenaan baru saja keluar daripada bengkel,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE















