KOTA BHARU – Tiada pengurangan kompaun diluluskan kepada penganjur majlis bertemakan disko retro, hippie ala 60-an dan 70-an di sebuah premis di tepi Sungai Kelantan selepas didapati menganjurkan program hiburan tanpa lesen sah pada minggu lalu.
Kompaun atas kesalahan tersebut dikenakan kepada penganjur sebanyak RM25,000 dan RM5,000 lagi melibatkan kesalahan menjual tiket tanpa permit berharga RM35 untuk memasuki program itu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah berkata, penganjur program itu sudah mengadakan perbincangan dengan pihak Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) pada Ahad lalu untuk pengurangan kompaun.
Menurutnya, penganjur terbabit sudah menyerahkan surat untuk mendapat persetujuan pengurangan terhadap kedua-dua kompaun yang dikenakan.
“Sehubungan itu, saya membuat keputusan bahawa kedua-dua kompaun itu tidak dikurangkan dan penganjur perlu menjelaskan bayaran RM30,000 dalam tempoh tujuh hari selepas surat jawapan diserahkan kepada mereka. Saya sudah mengarahkan surat jawapan itu diserahkan segera untuk membolehkan penganjur itu menjelaskan bayaran kompaun,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Hilmi memberitahu, jika penganjur terbabit gagal menjelaskan bayaran tersebut, tindakan mahkamah akan diambil mengikut Seksyen 7(1)(a) Enakmen Kawalan Hiburan Dan Tempat-tempat Hiburan( Kelantan) 2025.
Katanya, bagi kesalahan menjual tiket hiburan tanpa permit, penganjur boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 20(1)(a) Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan (Kelantan) 2025. – KOSMO! ONLINE















